Input your search keywords and press Enter.

Bayi maut, 3 hilang rakit terbalik di sempadan AS-Mexico

M Update 03/05/2019 – Seorang bayi lelaki maut dibawa arus deras sungai Rio Grande ketika keluarganya sedang menyeberang untuk masuk ke Amerika Syarikat (AS) menggunakan rakit getah, kata pihak berkuasa semalam.

Tiga lagi mangsa, dua daripadanya kanak-kanak juga hilang selepas sebuah rakit terbalik dekat sempadan AS-Mexico, kata Kastam dan Perlindungan Sempadan AS dalam satu kenyataan.

Sekumpulan sembilan orang yang menaiki rakit berkenaan adalah sebahagian daripada gelombang kebanjiran pendatang, kebanyakannya dari negara bergolak Amerika Tengah yang cuba masuk ke AS.

Presiden Donald Trump yang bertegas dengan pembinaan tembok sempadan sejak mentadbir, mengisytiharkan kebanjiran itu sebagai darurat.

Pentadbirannya mengambil langkah-langkah untuk menghalang pencari suaka, kebanyakannya adalah keluarga bersama anak-anak.

Antara cadangan terkini Trump adalah untuk mengenakan bayaran kepada pencari suaka, antara langkah tambahan bertujuan menyukarkan pendatang untuk tinggal lebih lama.

Menurut seorang ejen, seorang lelaki memberitahunya terdapat sembilan orang di atas rakit yang terbalik di Rio Grande itu.

Anak lelakinya yang berusia 10 bulan dan anak saudara lelaki yang berumur tujuh tahun adalah antara yang dihanyutkan arus deras. Seorang lelaki dewasa dan seorang gadis juga hilang, namun pencarian masih diteruskan.

Isteri dan anak lelakinya yang berusia enam tahun, ditemui tidak lama kemudian oleh pihak berkuasa.

Mayat bayi lelaki yang dihanyutkan air itu ditemukan beberapa kilometer di hilir sungai. – AFP

Leave a Reply