Input your search keywords and press Enter.

Kementerian Kesihatan Singapura Sahkan Kes Import Cacar Monyet, 23 Dikuarantin

M Update. 10/05/2019 – Kementerian Kesihatan (MOH) republik mengesahkan menerima satu kes import jangkitan cacar monyet membabitkan seorang rakyat Nigeria yang tiba bulan lalu untuk menghadiri satu bengkel.

Lelaki berusia 38 tahun itu diuji positif dijangkiti cacar monyet, penyakit jarang ditemui akibat sejenis virus yang dipindahkan kepada manusia daripada haiwan, semalam, kata kementerian dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa ketika ini ditempatkan di wad isolasi di Pusat Penyakit Berjangkit (NCID) dan dalam keadaan stabil.

Sementara itu, 23 individu lain yang berhubung rapat dengan mangsa juga dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.

Kementerian menambah, walaupun tidak mustahil penyakit itu dipindahkan antara manusia, risiko ia tersebar agak rendah.

Sebelum tiba di republik ini, lelaki itu menghadiri majlis perkahwinan di Nigeria, di mana dia mungkin makan daging haiwan liar, sumber mungkin pemindahan virus cacar monyet.

Sejurus tiba pada 28 April lalu, lelaki itu menginap di Hotel 81 Orchid di Geylang dan dua hari selepas itu menghadiri bengkel di Samsung Hub di Church Street di Daerah Perniagaan Pusat (CBD).

Kemudian pada 30 April, mangsa mula mengalami demam, sakit sendi, menggigil dan ruam. Antara 1 hingga 7 Mei, lelaki itu melaporkan, dia tinggal dalam bilik hotel pada kebanyakan masa.

Pada 7 Mei (kelmarin), dia dibawa ke Hospital Tan Tock Seng menaiki ambulans dan dirujuk ke NCID.

MOH kemudian mengenal pasti individu yang berhubung rapat dengan lelaki itu termasuk 18 peserta dan jurulatih dalam bengkel sama, seorang petugas bengkel dan empat kakitangan hotel.

Mereka dinilai NCID dan ditawarkan vaksinasi bagi mencegah jangkitan atau mengurangkan keterukan gejala, kata kementerian.

MOH berkata, gejala biasa penyakit itu adalah demam, sakit kepala, sakit sendi, sakit belakang, nodus limfa bengkak dan ruam.

Katanya, cacar monyet biasanya terhad kepada pesakit dengan kebanyakan mereka pulih dalam tempoh dua hingga tiga minggu.

“Dalam sesetengah kes, bagaimanapun, virus boleh menyebabkan komplikasi serius seperti pneumonia, sepsis, ensefalitis (keradangan otak) dan jangkitan mata dengan risiko kehilangan penglihatan,” tambah kenyataan itu dilaporkan laman web The Straits Times. -Agensi

Leave a Reply