Input your search keywords and press Enter.

PM Lawat Pameran Di Muzium British

M Update, 30/9/2019 – Tun Dr Mahathir Mohamad dibawa melawat pameran ‘Inspirasi Timur: Bagaimana Dunia Islam Mempengaruhi Seni Barat’ di Muzium British semalam, sebelum majlis pembukaan rasmi pameran itu pada 10 Oktober depan.

Perdana Menteri tiba di sini dari New York selepas menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-74, dan akan berada di London selama dua hari untuk lawatan rasmi sebelum pulang ke Malaysia esok. Pameran di Muzium British itu akan turut dipamerkan di Muzium Kesenian Islam Malaysia (IAMM) di Kuala Lumpur dari 20 Jun 2020 hingga 20 Oktober 2020.

Dr Mahathir bersama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom dan Ireland, Datuk Mohamad Sadik Kethergany dan Pengarah IAMM, Syed Mohamad Albukhary diberi penerangan oleh penulis, editor dan kurator pameran, Lucien de Guise dan Julia Tugwell.

Pameran itu merangkumi pelbagai objek seperti seramik, fotografi, kaca, barang kemas dan pakaian serta seni kontemporari, yang mencerminkan pertukaran kesenian mempengaruhi kepelbagaian seni visual dan perhiasan. Ketika di London, Perdana Menteri juga dijadualkan untuk melawat projek Stesen Tenaga Battersea, iaitu antara pelaburan terbesar Malaysia di United Kingdom, selain bertemu dengan pelajar Malaysia di sini sebelum kembali ke tanah air. – BH Online

Leave a Reply