Input your search keywords and press Enter.

Mexico bebas 27 mangsa culik di Cancun

M Update, 04/07/2019 – Lima suspek kes culik berjaya ditahan, susulan kejadian penculikan lebih 20 kakitangan pusat panggilan, dipercayai terbabit dalam pertikaian perniagaan di bandar pelancongan Cancun, di sini.

Peguam Negara, Quintana Roo, Oscar Montes de Oca, berkata kesemua kakitangan pusat panggilan dan pemilik perniagaan itu berjaya dibebaskan oleh pihak berkuasa pada pagi semalam, beberapa jam selepas diculik.

“Hasil siasatan kami mendapati kejadian ini membabitkan pertikaian antara beberapa pemilik perniagaan.

“Malah, salah seorang daripada pemilik adalah antara 27 mangsa culik,” kata Montes de Oca.

Terdahulu, AFP melaporkan pihak berkuasa membebaskan mangsa culik sebuah pusat panggilan di bandar peranginan Cancun, dipercayai dalam pertelagahan membabitkan dua rakan kongsi perniagaan.

“Seramai 27 mangsa culik berjaya diselamatkan dan kesemua mereka berada dalam keadaan sihat,” kata ketua polis Quintana Roo, Alberto Capella di Twitter.

Menurut pihak berkuasa, lapan penculik tiba di pusat panggilan dengan menaiki dua van pada malam Selasa lalu, dan menculik mangsa secara beramai-ramai, dipercayai tanpa menggunakan kekerasan.

Hasil siasatan awal menunjukkan penculikan itu mungkin mempunyai kaitan dengan pertelagahan antara dua pemilik perniagaan.

Salah seorang pemilik dikatakan menganiayai pekerja dan gagal membayar gaji mereka.

Dalam pada itu, pusat panggilan yang tidak terletak berhampiran dengan kawasan hotel di pantai yang popular di bandar berkenaan, dilaporkan menyediakan perkhidmatan pakej percutian.

Jutaan pelancong mengunjungi Cancun dan kawasan berhampiran, iaitu Playa del Carmen dan Tulum setiap tahun bagi menikmati keindahan pantainya.

Namun, sejak dua tahun kebelakangan ini, kadar jenayah semakin meningkat di wilayah itu, terutama membabitkan persaingan antara kumpulan dadah. – Reuters/AFP

Leave a Reply