Input your search keywords and press Enter.

‘Dron Pemantau Selamat, Bukan Ejen Pengintipan’

M Update, 18/7/2019 – Penilaian keselamatan dikendalikan dua kementerian mengesahkan 12 dron pemantau yang dibekalkan secara percuma oleh Amerika Syarikat (AS) adalah selamat digunakan.

Pemeriksaan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Pertahanan, selain membabitkan agensi berkaitan, mendapati teknologi bernilai RM80 juta itu tidak digunakan AS sebagai ‘ejen pengintip’.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata dron berkenaan diperiksa sebelum dan selepas dihantar ke Malaysia bagi tujuan memantau keselamatan perairan yang luas di Sabah.

“Kita juga ada agensi seperti CyberSecurity Malaysia yang mengendalikan penilaian keselamatan dron ini. Kita kena faham skim ini dimulakan kerajaan terdahulu sejak 2016, jadi ia sepatutnya difikirkan pihak sana (kerajaan lama diterajui Barisan Nasional) sebelum melaksanakannya. Namun kita sebagai kerajaan baharu melihat secara serius sekarang ini kerana tidak mahu dron berkenaan disalahgunakan untuk tujuan intipan.

Kedua-dua kementerian membuat penilaian dan menentu sahkan bahawa ia selamat daripada perkara atau ancaman intipan,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang mendakwa pembekalan 12 dron oleh AS itu bertujuan mengintip Malaysia, sekali gus mengundang risiko terhadap kedaulatan negara. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *