Input your search keywords and press Enter.

Mengimbas Tragedi Lahad Datu

M Update, 13/2/2020 – Minggu ini genap tujuh tahun tragedi pencerobohan Lahad Datu yang bermula di Kampung Tanduo, Sabah. Pada 11 Februari 2013, angkatan ‘Raja Muda’ Agbimuddin Kiram, saudara lelaki kepada ‘Sultan Sulu’ Jamalul Kiram III, bersama 101 pengikutnya menceroboh masuk Sabah – dengan alasan ingin menuntut Sabah kembali menjadi wilayah Kesultanan Sulu.

Pencerobohan itu mengakibatkan 12 perwira negara kita gugur mempertahankan kedaulatan negara. Susulan Ops Daulat yang dilancarkan bersama pasukan keselamatan negara, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) telah ditubuhkan.

Namun begitu, pengajaran besar di sebalik tragedi berkenaan telah mendorong pentadbiran kerajaan ketika itu untuk memperkukuhkan keberadaan Majlis Keselamatan Negara, lalu Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 telah diluluskan dan berkuat kuasa pada 1 Ogos 2016.

Fungsi utama Akta MKN 2016 adalah untuk merumuskan dasar dan langkah strategik mengenai keselamatan negara, termasuklah kedaulatan, integriti wilayah, pertahanan, kestabilan sosio-politik, kestabilan ekonomi, sumber strategik, perpaduan negara dan kepentingan lain yang berhubung dengan keselamatan negara; untuk memantau pelaksanaan dasar dan langkah strategik mengenai keselamatan negara serta melaksanakan apa-apa fungsi lain yang berhubung dengan keselamatan negara bagi pelaksanaan yang wajar akta itu.

Namun begitu, ketika Akta MKN 2016 diluluskan, ia telah mencetuskan kontroversi susulan kuasa ‘perisytiharan kawasan keselamatan’ yang hanya boleh dibuat oleh Perdana Menteri – peruntukan itu bukan sahaja didakwa boleh disalahgunakan bagi motif politik, tetapi juga meninggikan kuasa Perdana Menteri mengatasi Yang di-Pertuan Agong dalam mengisytiharkan darurat.

Hakikatnya, Akta MKN menjelaskan bahawa Perdana Menteri hanya boleh melakukan perisytiharan berkenaan jika dinasihati oleh MKN dalam situasi di mana ‘keselamatan di mana-mana kawasan di Malaysia diancam dengan serius oleh mana-mana orang, perkara atau benda yang menyebabkan atau berkemungkinan untuk menyebabkan bahaya yang serius kepada orang ramai, atau wilayah, ekonomi, infrastruktur utama negara Malaysia atau apa-apa kepentingan Malaysia yang lain, dan menghendaki tindak balas negara dengan serta-merta’.

Keselamatan

Jelas, kata kunci ‘menghendaki tindak balas negara dengan serta-merta’ mengingatkan kita bagaimana kritikalnya Akta MKN itu dalam mencegah tragedi Lahad Datu daripada berulang kembali.

Tambahan pula, perisytiharan keselamatan yang boleh dibuat oleh Perdana Menteri ini juga terhad dari segi tempoh masanya kerana ia hanya sah selama enam bulan – tertakluk kepada pembaharuan yang dibuat Perdana Menteri ‘bagi apa-apa tempoh yang tidak melebihi enam bulan pada sesuatu masa’.

Malah, perisytiharan dan pembaharuan perisytiharan itu juga perlu dibentangkan di Parlimen dengan segera sebaik sahaja ia dilakukan dan jika kedua-dua Majlis Parlimen membatalkan perisytiharan itu, maka ia akan terhenti daripada berkuat kuasa.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH)pada April 2019 telah memulakan usaha untuk meminda Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (Pindaan 2019) seperti berikut:

(a) Dalam subseksyen (1), dengan menggantikan perkataan “Perdana Menteri” di mana-mana jua terdapat dengan perkataan “Yang di-Pertuan Agong”;

(b) Dalam subseksyen (4), dengan menggantikan perkataan “Perdana Menteri” dengan perkataan “Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Majlis,”;

(c) Dalam subseksyen (6), dengan menggantikan perkataan “di Parlimen” dengan perkataan “di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen”; dan

(d) Dalam subseksyen (7), dengan menggantikan perkataan “Perdana Menteri boleh” dengan perkataan “Yang di-Pertuan Agong boleh atas nasihat Majlis”.

Bagaimanapun, tiga bulan kemudian, kerajaan PH menarik balik pindaan tersebut bagi melakukan kajian lanjut. Semoga Akta MKN akan diperkasakan dan para perwira kita yang gugur di Lahad Datu tidak dilupakan.

* Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Leave a Reply