Input your search keywords and press Enter.

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Jadi Tumpuan Esok

M Update, 29/7/2019 – Esok, Malaysia sekali lagi akan menjadi tumpuan rakyat dan masyarakat luar negara apabila berlangsungnya Istiadat Pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Istiadat yang akan berlangsung di Istana Negara itu secara rasminya menandakan permulaan pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Ketua Utama Negara untuk tempoh lima tahun akan datang. Menjelang upacara penting itu, pelbagai persiapan diatur teliti bagi memastikan istiadat yang bakal menyingkap kebesaran Raja-Raja Melayu itu berlangsung sempurna.

Rata-rata rakyat di seluruh negara ternanti-nantikan hari bersejarah itu yang akan menyaksikan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menaiki takhta negara. Tinjauan Bernama di sekitar ibu negara, hari ini, mendapati sekitar laluan menuju ke pintu-pintu masuk Istana Negara sudah dihiasi dengan poster dan kain rentang memaparkan gambar Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bagi menguar-uarkan kepada rakyat mengenai istiadat itu. Antara kawasan berkenaan ialah Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Semantan, Jalan Cangkat Semantan dan Jalan Sri Hartamas.

Sempena istiadat itu, kerajaan mengisytiharkan esok sebagai cuti umum bagi membolehkan rakyat di seluruh negara mengikuti acara berkenaan. Upacara itu akan disiarkan secara langsung menerusi siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan saluran televisyen tempatan bermula jam 9 pagi. Istiadat Pertabalan Al-Sultan Abdullah mencatat sejarah tersendiri apabila pasangan diraja itu masing-masing merupakan anakanda kepada Yang di-Pertuan Agong ketujuh, iaitu Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah (1979-1984), dan Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan (1984-1989).

Turut signifikan dalam istiadat itu ialah peranan Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri bertanggungjawab mengisytiharkan kedua-dua Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah dan Almarhum Sultan Iskandar sebagai Ketua Utama Negara pada ketika itu. Al-Sultan Abdullah yang meneruskan pusingan kedua sistem penggiliran Raja-Raja Melayu yang diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957, menaiki takhta bagi menggantikan Sultan Muhammad V yang meletakkan jawatan berkuat kuasa 6 Januari lalu.

Seri Paduka yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Januari menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja, 24 Januari lalu. Seri Paduka melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari lalu. – Bernama

Leave a Reply