Input your search keywords and press Enter.

Menyamar Memakai Pakaian Wanita

M Update, 06/08/2019 – Seorang ketua sindiket dadah gagal melarikan diri dari penjara dengan menyamar menjadi anak perempuannya dengan memakai pakaian wanita, rambut palsu serta topeng silikon menyerupai anaknya seperti dalam filem Mission Impossible.

Daily Mail yang memetik media tempatan melaporkan, Clauvino da Silva, 42, cuba melarikan diri dari Penjara Gericino, penjara paling ketat di barat Rio de Janeiro petang Sabtu lalu, namun gagal sampai ke pintu keluar kerana disedari pengawal yang mengesyaki cara ‘wanita’ itu berjalan.

Cubaan melarikan diri itu dilakukan ketika waktu melawat dan Clauvino menerima tujuh pelawat ketika itu, termasuk anak perempuannya dan wanita hamil.

Jurucakap Jabatan Pentadbiran Penjara Negeri Rio de Janeiro berkata, Clauvino memakai kemeja-T merah jambu, berambut hitam panjang, seluar jeans ketat, sandal putih, kot dan cermin mata milik anak perempuannya.

“Dia kelihatan kekok walaupun berwajah perempuan.

“Pengawal penjara curiga terhadap penampilannya, terutama apabila dia dikelilingi tujuh pelawat wanita yang seolah-olah mahu melindunginya ketika berjalan keluar.”

Rakaman video yang disiarkan FocusOn News menunjukkan penampilan ‘perempuan’ itu meyakinkan kecuali wajahnya, mulut dan otot mukanya tidak bergerak ketika dia membalas arahan ejen supaya membuka pakaiannya selepas ditahan.

Selepas pakaiannya dilucutkan, terserlah cacah pada lengannya yang kelihatan berotot dan kulitnya lebih gelap berbanding wajahnya.

Menurut Seap, Clauvino memakai pakaian anak perempuannya, Ana Gabriele yang melawatnya dan wanita itu bersembunyi di satu bahagian penjara.

Tujuh pelawat wanita lain, seorang daripada mereka pura-pura hamil dengan menyembunyikan peralatan samaran di bawah baju. Wanita hamil tidak perlu menjalani pemeriksaan badan ketika melawat banduan.

Semua mereka, termasuk anak perempuan Clauvino, ditahan.

Clauvino dijatuhi hukuman penjara 73 tahun 10 bulan pernah melarikan diri bersama 31 banduan lain pada Februari 2013 melalui pembetong kumbahan namun berjaya ditahan kembali.

Leave a Reply