Input your search keywords and press Enter.

Perkampungan Haram PATI Dalam Hutan Diserbu!

M Update, 23/8/2019 – Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyerbu sebuah tapak penempatan haram didiami warga asing di Segambut Dalam, di sini, awal pagi tadi.

Penempatan dihuni lebih 100 warga asing dalam kawasan hutan itu seakan-akan sebuah perkampungan tersembunyi dilengkapi kemudahan elektrik dan bekalan air. Sebahagian lagi kawasan penempatan didirikan dalam kawasan tertutup dengan pagar zink yang kelihatan seperti lokasi pembinaan dengan memuatkan rumah kayu dan kontena diubah suai menjadi kediaman.

Ketika melakukan serbuan itu menerusi Op Sapu, pegawai dan anggota Imigresen terpaksa menempuh denai serta laluan sempit lereng bukit sejauh 500 meter untuk tiba di kawasan penempatan terbabit. Hasilnya, seramai 80 pendatang asing tanpa izin (PATI) dianggarkan berusia 25 hingga 40 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Ketua Unit Aduan Risikan Operasi Imigresen Kuala Lumpur, Mohd Sharulnizam Ismail, berkata pihaknya melakukan risikan kira-kira sebulan sebelum melaksanakan serbuan itu. Beliau berkata, penempatan itu pada mulanya dikesan dibina sejak tiga tahun lalu menggunakan kayu. Bagaimanapun, kawasan itu semakin luas dan dipercayai ada majikan yang membina rumah daripada kontena untuk pekerja mereka.

Warga asing yang mendiami kawasan ini dipercayai bekerja di tapak projek pembinaan di kawasan sekitar Segambut Dalam. Kita memeriksa keseluruhan 117 pekerja warga asing. Daripada jumlah itu, 80 PATI ditahan terdiri daripada 42 lelaki warga Bangladesh, 28 lelaki warga Indonesia, sembilan wanita warga Indonesia dan seorang wanita warga Vietnam,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, hari ini.

Mohd Sharulnizam berkata, kesemua yang ditahan kemudian dibawa ke ibu pejabat Imigresen Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi. Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

Serbuan bermula jam 1.30 pagi dan tamat jam 4 pagi itu membabitkan seramai 80 pegawai dan anggota Imigresen. – BH Online

Leave a Reply