Input your search keywords and press Enter.

PKPB: Sabah Keluarkan Garis Panduan, SOP Untuk Sektor Pelancongan & Perhotelan

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

M Update, 8/12/2020 – Kerajaan Sabah mengeluarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi oleh penggiat sektor pelancongan dan perhotelan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa semalam sehingga 20 Disember 2020.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata garis panduan dan SOP itu telah diselaraskan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, melibatkan aktiviti pelancongan umum, premis penginapan perhotelan dan aktiviti pelancongan berasaskan komuniti (CoBT).

Beliau yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata penggiat sektor pelancongan dan perhotelan antara lain perlu memastikan kapasiti 50 peratus bagi setiap kumpulan pelancong pada satu-satu masa mengikut keluasan tempat dan ruangan bas persiaran.

Beliau berkata penggiat sektor itu perlu memastikan setiap pelawat mendaftar menggunakan aplikasi Sabah Trace, MySejahtera dan buku catatan bagi pengesanan kontak rapat, memeriksa suhu badan, mengamalkan penjarakan fizikal serta menggunakan pelitup muka dan cecair basmi kuman.

“Aktiviti pelancongan umum dan premis perhotelan perlu menyediakan garis panduan bagi mencegah penularan COVID-19, manakala penggiat CoBT pula diwajibkan membuat taklimat SOP sebelum sebarang aktiviti dimulakan,” katanya dalam sidang media semalam.

Masidi berkata penggiat sektor terbabit turut diminta melakukan pembersihan dan disinfeksi sekurang-kurang tiga kali sehari di kawasan umum atau yang kerap disentuh, menguruskan sisa buangan dengan teratur, selain membuang pelitup muka ke dalam tong sampah tertutup untuk pelupusan.

Bagi sektor perhotelan, kerajaan negeri membenarkan restoran atau kafe beroperasi, juga mesyuarat dan seminar pada skala kecil dengan had kehadiran separuh daripada ruangan bilik atau tidak melebih 20 orang pada satu-satu masa.

Beliau berkata penggiat industri pelancongan juga digalakkan membuat promosi produk masing-masing secara dalam talian atau alternatif lain yang mampu mengurangkan kontak rapat dengan pelanggan.

Sementara itu Masidi berkata Sabah merekodkan jumlah kumulatif COVID-19 sebanyak 30,786 kes setakat ini, dengan 218 kematian disebabkan wabak berkenaan.

Menurutnya semalam, Sabah mencatatkan 248 kes, dengan 126 kes atau 50.18 peratus daripadanya berpunca daripada saringan kontak rapat di 14 daerah; 61 kes (24.60 peratus) saringan kluster sedia ada; saringan bergejala 36 kes (14.52 peratus); saringan komuniti tujuh kes (2.8 peratus); dan 18 kes (7.26%) adalah dari lain-lain kategori.

Beliau berkata seramai 299 pesakit COVID-19 telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di negeri itu ialah 27,801 orang. 

Sementara itu, Menteri Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Ir Shahelmey Yahya dalam kenyataan berkata kerajaan negeri telah mengagihkan 282,213 bakul makanan kepada golongan sasar di 27 daerah, setakat ini.

Untuk semalam, 6,232 bantuan bakul makanan diagihkan melibatkan 12 daerah dengan Sandakan menerima 2,184 bakul makanan, diikuti Kudat (1,304); Tuaran (1,081); Keningau (725); Beluran (400); Pitas (200) dan Tongod (107).

Daerah lain yang menerima bantuan bakul makanan pada hari ini ialah Kota Belud (84); Lahad Datu (67); Ranau (43); Papar (20); dan Putatan (17), katanya.