Input your search keywords and press Enter.

Agong, PM Solat Istisqa Di Istana Negara

M Update, 20/9/2019 – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama hampir 1,000 jemaah menunaikan solat Istisqa menolak bencana jerebu yang semakin teruk melanda beberapa kawasan di Malaysia sejak dua minggu ini.

Solat sunat Istisqa, yang diimamkan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, itu dilakukan selepas solat Jumaat di Surau Utama Istana Negara di sini. Turut menunaikan solat sunat Istisqa ialah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta orang kenamaan lain yang hadir antaranya Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Semua masjid di seluruh negara ini disaran melaksanakan solat sunat Istisqa selepas solat Jumaat hari ini bagi memohon doa diturunkan hujan bagi mengurangkan masalah jerebu serta bencana tidak diingini. Jerebu melanda beberapa negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak berikutan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan yang menyebabkan jerebu rentas sempadan dan memberi kesan kepada kualiti udara serta peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

Setakat 3 petang ini, tahap kualiti udara di kawasan Sri Aman, Sarawak terus kekal dalam kategori berbahaya dengan bacaan IPU mencecah 411. -Bernama

Leave a Reply