Input your search keywords and press Enter.

Tetamu majlis hari jadi Imelda Marcos keracunan makanan

M Update, 04/07/2019 – Lebih 200 tetamu majlis hari jadi ke-90 bekas Wanita Pertama Filipina, Imelda Marcos, jatuh sakit disyaki keracunan makanan selepas menikmati hidangan.

Ambulans segera membawa rakan dan penyokong balu diktator Ferdinan Marcos itu yang muntah dari stadium sukan di Manila, menyaksikan 2,500 orang berkumpul sempena sambutan itu.

Walaupun Marcos disingkirkan pada 1986 dalam kebangkitan rakyat secara aman, keluarga diktator itu masih disanjung ramai rakyat Filipina dan membuat kemunculan semula dalam politik sejak beberapa tahun lalu.

“Ambulans kami membawa tetamu ke hospital selepas mereka mengadu pening dan muntah.

“Nampaknya mereka mengalami keracunan makanan,” kata pengerusi Palang Merah Filipina,

Richard Gordon.

Setiausaha Kesihatan Filipina, Francisco Duque, memberitahu wartawan jumlah mereka yang jatuh sakit adalah 260.

Seorang daripada mereka, cuma memberitahu nama pertamanya Leonora, berkata beliau percaya ia disebabkan makanan di majlis itu.

“Saya tidak begitu lapar, jadi cuma makan telur dan sedikit nasi kukus.

“Saya muntah dan ambulans membawa saya ke Pusat Perubatan Rizal dan diberikan saluran intravena.

“Saya menyalahkan tukang masak. Semua orang tahu Madam Imelda tidak boleh dipersalahkan kerana bukan beliau yang memasaknya,” kata wanita itu.

Majlis diserikan dengan nyanyian dan ucapan, selain botol air dihiasi nama Imelda dan makanan dalam kotak plastik.

Keluarga berkenaan kemudian mengeluarkan permohonan maaf dan berjanji membantu mereka yang sakit dan bekerjasama dengan pegawai siasatan. — AFP

Leave a Reply