Input your search keywords and press Enter.

TPM : Warga Emas Perlu Amal Gaya Hidup Sihat

M Update, 23/9/2019 – Warga emas perlu berpandangan positif terhadap diri dan mengamalkan gaya hidup sihat bertujuan mengubah pandangan masyarakat yang melihat golongan itu sebagai membebankan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pembabitan secara cergas termasuk dalam kegiatan kesukarelawanan mampu meningkatkan kesejahteraan mereka pada usia emas. Biasanya bila dah pencen, warga emas rasa seperti tidak lagi diperlukan. Moral mereka akan jatuh. Kebiasaan dulu, sebaik pencen budaya kita hanya perlu ke masjid, sekarang mereka perlu cergas selain ke masjid.

Bagi orang pencen, kalau tidak lakukan kegiatan, lama kelamaan akan rasa bosan dan berasakan tidak ada interaksi,” katanya. Dr Wan Azizah berkata penuaan cergas dan produktif adalah perlu supaya warga emas tidak lagi merasakan diri mereka sebagai beban kepada keluarga selepas bersara. Generasi muda juga perlu diberi pendedahan mengenai kepentingan membuat persediaan bagi menghadapi hari tua selain panduan mengenai bagaimana menghargai dan menjaga warga emas.

Bercakap kepada media selepas itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata kajian diagnostik pembentukan modul penjagaan jangka panjang warga emas yang mampan dan bersepadu sedang dilakukan. Kementerian melantik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai perunding bagi menjalankan kajian selama 18 bulan ini, yang dijangka berakhir pada November 2020. Antara hasil kajian adalah cadangan model penjagaan jangka panjang serta pelan tindakan pelaksanaannya termasuk keperluan modal insan, model pembiayaan yang mampan dan cadangan lokasi bagi melaksanakan projek rintis model penjagaan jangka panjang ini,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, kerajaan juga bersetuju terdapat keperluan perundangan untuk melindungi hak warga emas dalam isu pengabaian dan penderaan warga emas, memandangkan kes seperti itu semakin meningkat. Sehubungan itu, katanya, kajian kandungan, pendekatan dan skop bagi mewujudkan satu akta khusus melindungi warga emas di negara ini akan dilaksanakan dan Universiti Malaya (UM) dilantik sebagai perunding untuk melaksanakan kajian itu dalam tempoh 15 bulan.

Hasil utama kajian adalah satu rang undang-undang warga emas yang dicadang untuk dibentangkan di Parlimen pada awal 2021. Kementerian itu turut bekerjasama dengan MyAgeing untuk membangunkan dasar, pelan tindakan dan program secara kreatif lagi inovatif berdasarkan dapatan penyelidikan berkaitan warga emas.

MyAgeing UPM ditubuhkan pada 1 April 2002 dengan misi dan visi untuk menjadi pusat kecemerlangan gerontologi dan geriatik bertaraf dunia melalui penyelidikan, pendidikan, latihan serta khidmat profesional. Ia turut berfungsi sebagai pusat penyelidikan Kebangsaan dalam gerontologi, geriatik dan geronteknologi dengan memacu inovasi bagi menangani cabaran usia emas dan penuaan pelbagai dimensi di Malaysia serta Asia Tenggara.

Institut ini juga bakal menjadi hab intelektual dan fizikal dalam penyelidikan, pembangunan serta pengkomersialan (RCD), pembangunan modal insan selain khidmat profesional bidang penuaan untuk meningkatkan kesejahteraan warga emas, keluarga dan masyarakat. -BH Online

Leave a Reply