Input your search keywords and press Enter.

Penjawat Awam Enggan Divaksin, Perlu Tanggung Sendiri Kos Saringan

M Update, 07/09/2021 – Penjawat awam yang enggan divaksin tanpa alasan kesihatan perlu menjalani ujian saringan berkala atas tanggungan sendiri.

Beberapa pihak berpendapat, kerajaan tidak perlu dibebankan dengan perbelanjaan tambahan bagi membiayai kos saringan penjawat awam berkenaan berikutan sudah menyediakan vaksin secara percuma kepada rakyat. Mereka beranggapan, pendirian segelintir penjawat awam terbabit boleh menjejaskan usaha negara untuk beralih ke fasa endemik COVID-19 dan membahayakan kesihatan orang ramai secara keseluruhannya.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, berkata kerajaan tidak wajar dibebankan dengan perbelanjaan tambahan itu.

“Kerajaan sudah menyediakan vaksin secara percuma kepada rakyat dan tidak wajar dibebani perbelanjaan tambahan menanggung kos saringan kumpulan terbabit. Bayangkan berapa kos terpaksa ditanggung kerajaan walaupun hanya satu peratus daripada 1.6 juta penjawat awam enggan divaksin tanpa alasan kesihatan? Kos berkenaan boleh digunakan bagi tujuan lain.

“Masyarakat juga akan melihat penjawat awam sebagai golongan leceh kerana berperangai sedemikian. Tidak wajar bagi golongan pelaksana dasar kerajaan untuk tidak mematuhi saranan pengambilan vaksin,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas cadangan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, untuk mewajibkan saringan berkala ke atas penjawat awam yang enggan divaksin tanpa alasan kesihatan.

Menyokong cadangan itu, Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia, Sukimin Juki, berkata kos saringan berkala hanya wajar ditanggung kerajaan jika individu terbabit enggan divaksin atas alasan kesihatan.

“Semua lapisan masyarakat bebas memilih sama ada mahu divaksin atau tidak, bergantung kepada idealogi masing-masing. Justeru, mereka juga perlu tahu kesan daripada setiap keputusan berkenaan. Jumlah golongan enggan divaksin ini mungkin sedikit tetapi mereka perlu fikir kesan tindakan mereka terhadap masyarakat sekeliling, terutamanya dalam kalangan guru. Tindakan mereka menjejaskan kepercayaan ibu bapa dan penjaga,” katanya.

Presiden Kesatuan Jururawat Malaysia (MNU), Nor Hayati Abd Rashid, berkata kos saringan berkala itu tidak wajar ditanggung kerajaan jika membabitkan jumlah kakitangan yang ramai.

Perbelanjaan ini sepatutnya digunakan bagi tujuan lain yang lebih bermanfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya. – BH Online