Input your search keywords and press Enter.

Banyak ‘Bubble Tea’ Tiada Sijil Halal

Gambar Hiasan

M Update, 29/11/2019 – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesan masih terdapat banyak kedai minuman ‘bubble tea’ yang menggunakan bahan tanpa sijil halal.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIS, Wan Najmiah Wan Mohamad Ali berkata, kebanyakan bahan untuk membuat minuman itu diimport dari Taiwan dan pemeriksaan pihaknya mendapati ia tidak mempunyai logo halal. Justeru, beliau memaklumkan pihaknya giat memantau premis berkenaan susulan tindakan mereka yang mengelirukan pengguna khususnya beragama Islam.

“Pengguna kebanyakannya terpengaruh dengan persekitaran premis yang bersih, malah ada yang menggunakan tenaga pekerja wanita Islam bertudung bagi mengaburi mata pembeli.

“Apabila minuman ‘bubble tea’ itu tular, orang ramai tidak berfikir panjang dan sanggup beratur panjang untuk mendapatkan minuman berkenaan…mereka tidak selidik terlebih dahulu sama ada premis berkenaan mempunyai sijil halal atau sebaliknya,” katanya.

Pada masa sama, Wan Najmiah berkata, setakat ini hanya Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) saja menunjukkan keprihatinan berhubung perkara berkenaan dengan berjumpa pemilik dan pengusaha premis menjual minuman berkenaan. MPSJ baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan pengusaha premis berhubung pemilikan sijil halal dan juga bertanya sama ada kandungan yang digunakan boleh diminum oleh orang Islam.

“Ia adalah inisatif yang patut dipuji kerana saya dimaklumkan MPSJ menyedari terdapat premis menjual minuman bubble tea yang laris di jual di kawasan mereka. Jadi, MPSJ menjalankan tanggungjawab bukan saja sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), malah mereka turut prihatin dengan situasi orang Islam dengan menggalakkan pengusaha memiliki sijil halal sebelum memohon lesen perniagaan,” katanya.

Katanya lagi, JAIS mendapati ada antara pengusaha mengiklankan minuman mereka dengan perkataan yang mengelirukan seperti mereka menggunakan bahan halal walaupun tidak mempunyai sijil halal.

“Tindakan pengusaha mempamerkan sijil halal luar negara pada premis masing-masing juga adalah salah kerana ia bukan sijil daripada Malaysia. Oleh itu, kami menggalakkan pelanggan untuk membuat aduan sekiranya berlaku hal sedemikian kerana penggunaan perkataan halal sewenang-wenangnya adalah salah,” katanya.

Wan Najimah berkata, setakat ini hanya minuman jenama Tealive, CoolBlog dan Chatime sahaja mempunyai sijil halal, sementara majoriti pengusaha ‘bubble tea’ yang lain masih gagal mengemukakan permohonan. – HM Online

Leave a Reply