Input your search keywords and press Enter.

Indonesia Hantar Kapal Perang Ke Pulau Natuna

M Update, 7/1/2020 – Indonesia akan ‘menggerakkan’ nelayannya untuk menyertai kapal perangnya di Laut China Selatan dalam usaha membantu mempertahan perairannya dari kapal China.

Dalam kenyataan yang tegas, Presiden Indonesia, Joko Widodo memberitahu pemberita:

“Tidak ada tolak ansur berhubung kedaulatan kita.”

Ketegangan berlaku sejak bulan lalu di bahagian utara kepulauan Natuna yang sekali gus memburukkan lagi hubungan Jakarta dan Beijing selepas kapal pengawal pantai China mengiringi kapal nelayan China di kawasan berkenaan.

Menteri Keselamatan Indonesia, Mahfud MD, berkata seramai 120 nelayan dari Pulau Jawa akan dikerah ke kepulauan Natuna, kira-kira 1,000 kilometer di utara.

“Kami mahu menggerakkan nelayan kita dari pantai utara dan mungkin dari kawasan lain untuk menangkap ikan di sana serta lain-lain aktiviti,” kata Mahfud.

Indonesia, negara keempat paling padat di dunia minggu lalu mahu menghantar lebih banyak kapal perangnya ke kawasan itu. Enam kapal perang Indonesia sudah berada di kawasan berkenaan dan empat lagi sedang dalam perjalanan, kata ketua sub-direktor operasi laut Agensi Keselamatan Maritim Indonesia, Imam Hidayat.

China menuntut sebahagian besar kawasan Laut China Selatan, laluan perdagangan yang kaya dengan ikan dan rizab minyak sebagai miliknya namun negara Asia Tenggara dan Amerika Syarikat menyifatkan tuntutan China itu tidak berasas dari segi undang-undang. – Reuters

Leave a Reply