Input your search keywords and press Enter.

Kes Bunuh : Jenazah Dua Beranak Selamat Dikebumikan

M Update, 22/10/2019 – Jenazah dua beranak, Nurfazera Bidin, 27, dan anak lelakinya, Muhammad Iman Asraf Abdullah, 11, yang disahkan mangsa bunuh dan kerat di Krubong, di sini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bertam, Malim tengah malam tadi.

Terdahulu, kedua-dua jenazah dimandi dan dikafankan di Jabatan Forensik Hospital Melaka sebelum dituntut waris untuk proses pengebumian kira-kira jam 12.10 malam. Jenazah dibawa keluar dari perkarangan hospital menaiki dua van untuk disembahyangkan di Masjid Al-Faizin, di sini sebelum dikebumi dalam satu liang lahad bersebelahan kubur arwah bapa Nurfazera.

Suasana pilu turut mengiringi jenazah sebaik tiba di tanah perkuburan dengan kehadiran kira-kira 50 anggota keluarga dan penduduk setempat. Turut kelihatan, ibu dan dua kakak Allahyarham Norfazera, Fatimah Latif, 60, Norhafizah, 33, dan Munirah. Terdahulu, polis mengesahkan lapan bahagian anggota badan manusia yang ditemui di kawasan itu, dua minggu lalu, milik dua beranak berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris ketika dihubungi mengesahkan perkara itu berdasarkan keputusan sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) membuktikan bahagian tubuh dikerat itu milik kedua-dua mangsa.

Suspek lelaki warga Singapura direman sehingga Jumaat (25 Oktober) ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh. Turut dilaporkan, dua kepala dipercayai milik dua beranak ituditemui di siling sebuah rumah di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam yang juga dipercayai menjadi lokasi pembunuhan mangsa. – BH Online

Leave a Reply