Input your search keywords and press Enter.

Jangan Diskriminasi Pelancong Dari China

M Update, 23/1/2020 – Pelancong, khususnya dari China tidak seharusnya menjadi mangsa diskriminasi walaupun negara itu kini berhadapan penularan wabak coronavirus baharu, yang sudah meragut sekurang-kurangnya sembilan nyawa.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, menjelaskan pelancong yang masuk ke negara ini akan disaring terlebih dahulu di pintu masuk negara, termasuk lapangan terbang.

“Kita menggalakkan rakyat Malaysia untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan menjaga kesihatan masing-masing, khususnya apabila berada di tempat awam. Kita juga berharap tiada pelancong, khususnya warga China menjadi mangsa diskriminasi, antaranya termasuk menjauhkan diri daripada mereka.

“Ini kerana pelancong dari semua negara akan disaring terlebih dahulu di pintu masuk negara ini,” katanya menerusi Facebook, sambil berkongsi laporan The Guardian bertajuk ‘Coronavirus: Chinese hospitals not testing patients, say relatives’ (Coronavirus: Hospital China tidak uji pesakit, kata ahli keluarga’).

Malaysia menyasarkan 30 juta ketibaan pelancong asing tahun ini selaras kempen Tahun Melawat Malaysia 2020, dengan anggaran pendapatan sebanyak RM100 bilion. Statistik Tourism Malaysia menunjukkan jumlah ketibaan pelancong China meningkat daripada 1.61 juta pada 2014, kepada 2.94 juta pada 2018.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengumumkan pelancong China diberi pengecualian visa selama 15 hari, bagi memperkukuh kerjasama dua hala dan meningkatkan jumlah pelancong negara itu ke Malaysia.

Dr Boon Chye menasihatkan, individu yang pulang daripada negara yang dikesan memiliki kes 2019 NCOV, khususnya China, untuk memantau kesihatan mereka selama dua minggu dan segera mendapatkan rawatan jika memiliki simptom seperti influenza.

Sehingga kini, seramai 440 individu dilaporkan menjadi mangsa virus itu dengan sembilan kematian. Kebanyakan kes dilaporkan di Wuhan, China namun ia dikesan tersebar ke Beijing, Shanghai dan Guangdong, selain Thailand, Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Amerika Syarikat. -BH Online

Leave a Reply