Input your search keywords and press Enter.

Individu Dari Zon Merah Dinasihat Tidak Rentas Daerah – Noor Hisham

M Update, 21/5/2020 – Kementerian Kesihatan menasihati individu yang tinggal di Zon Merah supaya tidak melakukan perjalanan rentas daerah atau pulang ke kampung ketika sambutan Aidilfitri.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ini kerana pihaknya bimbang berlaku risiko jangkitan terhadap ahli keluarga khususnya yang berada di kawasan Zon Hijau.

“Kerajaan sudah tidak membenarkan perjalanan merentasi sempadan negeri, hanya membabitkan daerah sahaja yang dibenarkan. Individu yang bergerak dari Zon Merah membabitkan perjalanan rentas daerah, kita tidak pasti mereka dijangkiti atau tidak sekiranya pulang ke kampung, besar kemungkinan mereka akan menjangkiti golongan berisiko.

“Justeru kita menasihati mereka di Zon Merah jangan balik ke kampung dan kalau boleh duduk di rumah semasa Aidilfitri secara tertutup dan tiada kunjung mengunjung, ” katanya pada sidang media harian,di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, masyarakat yang menyambut Aidilfitri hujung minggu ini dinasihati supaya mengelak daripada menziarahi kubur dan mengadakan aktiviti kunjung mengunjungi. Sambil menegaskan ia hanyalah nasihat dan bukannya dasar KKM, beliau berkata, inisiatif itu jika diambil boleh mengelakkan jangkitan terutamanya kepada kanak-kanak dan warga emas.

“Ini yang kita bimbangkan mungkin ada peningkatan kes selepas Hari Raya kalau kita tak patuh kepada SOP…justeru kalau boleh elakkan ziarah kubur, dan kalau boleh elakkan kunjung-mengunjung.

“Kalau boleh kita menyambut perayaan ini tertutup bersama keluarga namun ini nasihat kepada mereka yang meraikan Hari Raya dan bukan dasar, ” katanya pada sidang media harian, semalam.

Leave a Reply