Input your search keywords and press Enter.

Sasar Sifar Kes COVID-19 Menjelang Pertengahan Julai – KP Kesihatan

Susulan keadaan COVID-19 di Malaysia yang kini terkawal, Kementerian Kesihatan mengunjurkan sifar kes positif baharu dapat dicapai menjelang pertengahan Julai dengan syarat rakyat mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata pemodelan kementerian mendapati sasaran berkenaan boleh dicapai sekiranya SOP, terutama dalam penjarakan sosial, memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan atau menggunakan pensanitasi tangan diamalkan sepenuhnya.

Angka kes jangkitan baharu yang kecil, jumlah pesakit yang dibenarkan keluar hospital yang tinggi serta kadar kematian yang rendah memberi keyakinan bahawa sasaran itu dapat dicapai, katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini situasi COVID-19 negara, di sini hari ini.

Beliau memetik laporan New England Journal of Medicine yang menyatakan bahawa jarak sosial sahaja dapat menyumbang kepada penurunan 65 peratus dalam jangkitan baharu.

Keyakinan beliau bahawa negara dapat mencapai sasaran itu disokong perangkaan hari ini yang mencatatkan hanya enam kes positif baharu dan 45 pulih sementara tiada kematian dicatatkan.

Pertambahan kes baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 8,596 kes, manakala kes sembuh 8,231 kes atau 95.8 peratus. Tiada kematian dicatatkan menjadikan jumlah maut akibat wabak itu kekal 121 kes atau 1.41 peratus.

Semalam, hanya ada tiga kes baharu sementara sembilan orang pulih.

Kes COVID-19 di negara ini melonjak sebelum Malaysia mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac, langkah-langkah yang diambil untuk membendung wabak itu membuahkan hasil, kata ketua pengarah itu.

Beliau berkata kejayaan berkenaan membolehkan PKP dilonggarkan menjadi PKP Bersyarat mulai 5 Mei dan selepas itu sebagai PKPP bermula 10 Jun.

Dr Noor Hisham memuji orang ramai kerana mematuhi SOP dan menekankan bahawa sasaran sifar kes positif baharu dapat dicapai jika mereka terus mengamalkannya.

PKPP, yang dijadualkan berakhir pada 31 Ogos, telah membolehkan hampir semua sektor ekonomi di negara ini dibuka semula dan sebahagian besar sekatan pergerakan rakyat ditarik balik.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata faktor penganjuran majlis sosial seperti majlis perkahwinan, ulang tahun dan acara keagamaan dibenarkan mulai 1 Julai ini adalah kerana keadaan COVID-19 telah dikawal dengan baik.

Beliau berkata ia bagi menyimbangkan antara “kehidupan dan mata pencarian” sehingga mewujudkan keadaan normal tanpa berkompromi terhadap keperluan mematuhi SOP.

Bagaimanapun, beliau berkata Kementerian Kesihatan akan tetap memantau dan lokasi penganjuran majlis sosial berkenaan yang dikesan terdapat kes baharu akan diarahkan tutup.

“Kalau ada penularan COVID-19 dalam majlis tersebut atau lokaliti tersebut, kita akan tutup lokaliti tersebut atau tutup hotel (yang terlibat), “ katanya. 

Ditanya mengenai kebenaran operasi taman tema air, Dr Noor Hisham menjelaskan bahawa kawalan kesesakan di premis itu menjadi faktor utama kepada kebenaran operasi.

Katanya pemantauan pematuhan SOP akan dibuat apabila aktiviti riadah kolam renang memulakan operasi pada 1 Julai.

“Isunya bukan air di dalam kolam renang itu tetapi isu kesesakan. Kita akan pantau dahulu. Kalau kita boleh kawal kesesakan dalam kolam renang, jadi mungkin kita boleh benarkan taman tema air untuk beroperasi,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *