Input your search keywords and press Enter.

Dasar Banteras Rasuah Diteruskan – PM

M Update, 26/6/2020 – Kerajaan meneruskan keputusan dasar yang dicapai sebelum ini dalam usaha membanteras rasuah di Malaysia, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan beliau juga bersetuju mesyuarat itu dan Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR) Kebangsaan diadakan secara berkala selaras dengan Arahan Perdana Menteri No. 1 Tahun 2018. Katanya, kerajaan juga akan mengukuhkan akauntabiliti dan integriti Ahli Parlimen melalui dasar pengisytiharan harta dan penerimaan hadiah.

“Kerajaan juga akan terus melaksanakan Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) dan Penilaian Risiko Rasuah (CRM) di semua kementerian dan sektor awam untuk kawalan pencegahan rasuah yang efektif.

“Kerajaan juga akan memantapkan lagi sistem pencegahan rasuah di sektor swasta melalui ‘Beneficiary Ownership’ dan entiti perniagaan mengikut Garis Panduan Tatacara Mencukupi Meningkatkan keberkesanan dan ketelusan perolehan awam bagi mengelak ketirisan dana awam dan menumpukan kepada isu ekonomi terutamanya kos sara hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mesyuarat itu diadakan secara sidang video selaras prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Muhyiddin berkata, semua kementerian dan agensi kerajaan yang mengeluarkan permit dan lesen perlu menerbitkan garis panduan permohonan dan memaparkannya secara dalam talian untuk makluman umum.

Langkah itu, katanya bertujuan mewujudkan mekanisme yang lebih telus dalam proses pengurusan permit dan lesen, sekali gus meningkatkan integriti dan mengelak berlakunya rasuah.

Muhyiddin berkata, bagi memantapkan proses tatatertib dalam perkhidmatan awam, mesyuarat itu juga bersetuju kajian komprehensif dilaksanakan bagi menambah baik pematuhan Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP).

Katanya, menyedari keperluan mewujudkan dasar bagi menjamin integriti persekitaran digital, mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan Cyber Security Malaysia supaya satu kajian dilaksanakan bagi mendapatkan bukti empirikal keperluan dasar antirasuah digital serta mengenal pasti keperluan perundangan berkaitan. JKKMAR katanya, turut dimaklumkan mengenai Status Perisytiharan Harta Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen.

“Kerajaan akan meneruskan usaha meningkatkan tadbir urus dan integriti melalui pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023, bagi memastikan hasrat meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan secara telus dan berkesan,” katanya.

Berdasarkan Kod Etika Anggota Pentadbiran, setiap anggota pentadbiran perlu membuat perisytiharan harta dalam tempoh tiga bulan dari tarikh mengangkat sumpah. – BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *