Input your search keywords and press Enter.

PM Cadangan Beri Elaun Khas Kepada Petugas SMART

Foto SMART Malaysia

M Update, 17/02/2023 – Cadangan pemberian elaun khas kepada anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara yang terlibat dengan misi gempa bumi di Turkiye merupakan penaik semangat dan akan memberi motivasi kepada anggota untuk terus melakukan yang terbaik.

Seorang anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Akmar Hisham Basor berkata pemberian khas berkenaan mampu meningkatkan motivasi anggota pasukan itu yang kini memasuki minggu kedua bertugas di Nurdagi.

”Ia juga mampu menarik minat anggota SMART yang lain untuk turut serta dalam misi di luar negara yang akan datang,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu  seorang pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohd Khairul Azmi Jaafar berkata beliau bersyukur dengan pengumuman yang dibuat oleh perdana menteri.

Katanya selain memberi semangat ia juga merupakan satu penghargaan kepada anggota yang berhadapan pelbagai cabaran dan kesukaran  semasa melakukan operasi SAR di sini.

“Pengumuman itu memberi impak positif terhadap setiap individu terlibat, ia menunjukkan kerajaan prihatin dengan cabaran yang dihadapi oleh pasukan SAR di sini,” katanya.

Seorang lagi anggota Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) Mohd Alip Roslani berkata pemberian berkenaan memberikan semangat untuk beliau terus terlibat dalam operasi seumpama itu pada masa akan datang.

“Apa yang paling penting, pengalaman pengurusan bencana yang diperoleh di sini yang boleh diaplikasikan di tanah air,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada persidangan Dewan Rakyat mencadangkan supaya semua petugas pasukan SAR negara yang berkhidmat dalam misi menyelamat mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria diberikan elaun khas.

Anwar dilapor berkata ia termasuk memberikan sijil penghargaan serta pingat khidmat khusus sebagai menghargai pengorbanan serta komitmen petugas terlibat.

Pada Isnin lepas, Anwar berlepas ke Turkiye bagi menyatakan sokongan moral kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan dan rakyat negara itu yang dilanda gempa bumi awal minggu lepas sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa.

Sepanjang keberadaan pasukan SAR negara di sini mereka telah berjaya menyelamatkan lima sekeluarga dan mengeluarkan 47 mayat. – BERNAMA