Input your search keywords and press Enter.

Luqman Perlu Jaringkan Gol, Jadi Wira Malaysia

M Update, 7/8/2020- Untuk dikenali dan menempa nama dia perlu jaringkan gol”.

Itu antara nasihat pemilik KV Kortrijk, Tan Sri Vincent Tan kepada penyerang sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin selepas dia sah menjadi milik kelab Divisyen Satu Belgium itu. 

Bekas pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu menandatangani kontrak lima tahun bersama Kortrijk dalam majlis yang berlangsung di ibu negara, hari ini. Majlis menandatangani kontrak turut dihadiri Duta Belgium, H. E Pascal Gregoire dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon.

Kata Vincent, beliau berharap semua rakyat Malaysia dapat memberi sokongan kepada Luqman, selain menasihati pemain muda itu agar berusaha keras untuk menempa nama di Eropah.

“Saya menjangkakan tiada masalah baginya untuk membuktikan kemampuan beraksi bersama kelab baharu nanti.

“Malah, kita seharusnya berbangga Luqman berjaya menjadi anak Malaysia pertama bermain dalam liga divisyen satu di Eropah dan mewakili antara kelab utama di Belgium,” kata Vincent.

Pemain berusia 18 tahun itu dijangka terbang ke Belgium minggu depan. – UTUSAN