Input your search keywords and press Enter.

PDRM Pantau Warga Dua Kerakyatan Mengundi PRN Sabah – KPN

M Update, 22/9/2020 – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata berdasarkan risikan polis, kumpulan itu sebelum ini pulang ke negara asal, tetapi akan kembali ke Sabah untuk mengundi.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak sesekali berkompromi dan akan mengenakan tindakan tegas sekiranya kumpulan itu ditahan.

“Polis tahu ada individu yang memiliki dua kerakyatan dan dikatakan akan masuk secara besar-besaran untuk mengundi.

“Saya beri amaran jangan ganggu proses pilihan raya ini dan jangan ada pihak yang cuba buat kacau proses demokrasi ini,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan proses pengundian awal di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.

Beliau berkata, risikan juga mendapati kumpulan yang memiliki dua kerakyatan ini dikatakan berada pantai timur Sabah dan sekitar negeri ini.

Sebelum ini polis mendedahkan ada maklumat mengenai kemasukan besar-besaran Pati yang dikatakan akan membuat kekacauan dalam PRN Sabah, Sabtu ini. Polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah menggerakkan aset di semua 96 pos sempadan laut dan darat bagi menghalang kemasukan Pati.

Sabtu ini, seramai 1.1 juta rakyat Sabah akan menunaikan tanggungjawab dalam PRN Sabah ke-16. – BH Online