Input your search keywords and press Enter.

Wajib Mencarum PERKESO Walaupun Hanya Ada Seorang Pekerja

M Update, 08/06/2022 – Semua majikan yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja, tidak akan terlepas daripada Op Kesan yang dilakukan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di seluruh negara bermula hari ini.

Operasi besar-besaran itu dilaksanakan untuk mengesan majikan yang tidak mendaftar serta mencarum pekerja mereka walaupun tempoh pemutihan selama sebulan sudah diberikan pertubuhan itu pada Mei lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata pengusaha gerai atau peniaga tepi jalan juga tidak terkecuali mencarum pekerja mereka.

“Jika mereka ada seorang pekerja, sama ada kedai tepi jalan (jual) pisang goreng dan nasi lemak pagi-pagi, sila daftar dan carum. Mereka turut diwajibkan untuk mencarum sekiranya mempunyai pekerja berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

“Tidak ada sesiapa akan terlepas dalam Ops Kesan ini dan (majikan) jangan lihat ini sebagai bebanan. Kalau ada apa yang berlaku kepada pekerja siapa hendak tanggung kehidupan mereka dan keluarganya.

“Kalau ada caruman Perkeso, insya Allah dari segi perubatan, pemulihan, hilang upaya dan berlaku kematian (sekiranya), keluarga mereka akan terjamin,” katanya kepada pemberita selepas Ops Kesan di sekitar Seksyen 15 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, caruman PERKESO adalah minimum dan tidak akan membebankan majikan yang mana jika diambil gaji minimum RM1,200 sebulan, majikan hanya perlu mencarum sebanyak 1.75 peratus, manakala pekerja 0.5 peratus.

Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata, terdapat peningkatan sehingga 15 peratus pendaftaran majikan dan pekerja dalam tempoh sebulan (tempoh pemutihan) pada Mei lalu yang didaftarkan di semua premis PERKESO seluruh negara.

“Sepanjang sebulan tempoh itu, sebanyak 8,843 majikan baharu tampil mendaftar dengan merekodkan peningkatan memberangsangkan iaitu 15 peratus, berbanding dengan jumlah majikan baharu yang mendaftar pada bulan April 2022, iaitu sebanyak 7,709 majikan.

“Bagi Ops kesan sehingga jam 11 pagi tadi, sejumlah 220 kompaun dan tujuh arahan pematuhan dikeluarkan daripada 1,258 majikan yang sudah dilawati pihak kami di seluruh negara,” katanya

Mohammed Azman turut merayu majikan tampil mendaftar dan mencarum pekerja mereka secara sukarela dan tindakan tidak akan diambil kepada mereka. – Berita Harian