Input your search keywords and press Enter.

Penjawat Awam Diseru Bawa Perubahan, Bekerja Sebagai Satu Pasukan

Foto: Astro Awani

M Update, 29/11/2022 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta penjawat awam bekerjasama dengan kepimpinan kerajaan bagi membawa perubahan agar negara kembali ke zaman kegemilangannya.

Pada perjumpaan pertamanya bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini selepas dilantik sebagai perdana menteri pada 24 Nov, Anwar berkata penjawat awam perlu membawa semangat islah iaitu perubahan ke arah kebaikan demi negara

Beliau berkata reformasi adalah satu permulaan untuk negara yang memerlukan perubahan kerana  negara pernah mencapai tahap tertentu tetapi malangnya telah merosot baik dari segi ekonomi, kestabilan atau disiplinnya.

“Kita tidak mungkin berjaya sekiranya tonggak perkhidmatan awam tidak sepenuhnya bersama saya,” katanya.

Anwar berkata perkhidmatan awam adalah tonggak kepada negara dan ia tidak akan berubah meskipun kerajaan atau perdana menteri telah bertukar ganti.

“Pimpinan silih berganti namun penjawat awam kekal dengan maksud mereka mengangkat sistem dan peraturan negara dengan tegak dan hukumnya,” katanya berdasarkan pengalamannya sebagai menteri kewangan, beliau tidak mungkin berjaya tanpa tonggak perkhidmatan yang membantu.

Sehubungan itu, beliau mahu semua menteri yang akan dilantik dalam Kabinet untuk mendengar pandangan daripada penjawat awam di kementerian masing-masing.

“Kalau ada cadangan balas atau teguran (daripada menteri) hanya (dilakukan) setelah dengar pandangan mereka… kepintaran kita, kecekalan kita, minat kita tidak akan sama dengan pengalaman mereka (penjawat awam),” katanya yang menambah barisan Kabinet akan diumumkan tidak lama lagi. – BERNAMA