Input your search keywords and press Enter.

Minoriti Lantang, Majoriti Membisu

Oleh: Asam Pedas

Kemudahan teknologi semasa membolehkan suara kita mudah didengari di seluruh dunia. Ketika duduk bersantai dirumah, bekerja di pejabat, berada dalam kenderaan atau sedang bersiar-siar membeli belah, kita masih boleh menyampaikan pandangan kita ke seluruh dunia. Kita boleh bercakap perkara yang benar atau sengaja mereka berita palsu. Kita boleh memilih untuk menjadi orang yang memandaikan masyarakat atau sengaja mencetuskan kebencian masyarakat kepada pihak tertentu.

Dalam banyak keadaan, golongan minoriti akan lebih bersuara lantang. Mungkin kerana mereka rasa lebih teraniaya dan ditindas hingga perlu bersuara lebih agresif untuk didengari. Golongan majoriti pula memilih untuk membisu kerana tiada keperluan untuk membuat bising.

Maka disinilah masalah bermula. Dengan lebih 90% isi rumah di negara ini mempunyai akses internet, persepsi masyarakat akan dibentuk berdasarkan suara yang dominan dalam media sosial. Maka pandangan minoriti yang bersuara kuat akan menjadi perhatian. Kadang-kadang perkara yang diangkat adalah kurang tepat malahan mungkin tersasar dari fakta sebenar. Lebih buruk lagi apabila ia dilakukan secara terancang bagi maksud tertentu termasuk demi kepentingan politik dan perniagaan.

Lihatlah bagaimana kisah kejayaan seorang anak imigran India-Jamaica, Kamala Harris, yang dipilih menjadi Naib Presiden Amerika Syarikat telah cuba dipolemik di Malaysia untuk menunjukkan betapa terpinggirnya kaum India di negara ini. Hakikatnya, berapa beruntung kaum India di Malaysia berbanding di negara lain. Mereka sentiasa diberi ruang dan peluang sejak tahun 1955 untuk menjadi Menteri, mengetuai Kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan, malah menjadi jutawan. Deretan nama kaum India boleh disenaraikan untuk menjadi bukti kaum India tidak pernah dipinggirkan di negara ini.

Lihat juga bagaimana moratorium bersasar yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2021 telah digambarkan dalam bentuk yang amat negatif. Golongan yang memerlukan pelanjutan moratorium yang berfungsi seperti antibiotik kepada yang sakit hanya kecil jumlahnya. Namun pihak minoriti yang lantang bersuara cuba menggambarkan majoriti rakyat Malaysia memerlukan morotarium berterusan. Lebih parah bila pihak minoriti cuba membina persepsi rakyat untuk bersama menolak Belanjawan 2021.

Golongan majoriti pula enggan memberikan reaksi kerana lebih selesa diam tidak bersuara. Mereka perlu tahu, jika mereka berterusan membisu, pandangan golongan majoriti akan dikesampingkan. Suara minoriti akan menjadi dasar negara dan masa depan negara ditentukan oleh golongan minoriti.

Kita kini dipersimpangan, antara melayan kehendak minoriti yang lantang bersuara  atau mengikut kehendak majoriti yang diam membisu. Yang pasti, golongan majoriti dan minoriti akan sependapat menyatakan kesedapan asam pedas!

ASAM PEDAS