Input your search keywords and press Enter.

Hubungan Malaysia-Singapura masih Baik-Azmin

M Update, 15/1/2019 – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyangkal dakwaan bahawa hubungan dua hala antara Malaysia-Singapura berada di tahap amat membimbangkan.

Beliau berkata, ini kerana kepemimpinan dua negara akan menggunakan kebijaksanaan masing-masing untuk keluar daripada pelbagai kemelut dan krisis yang sedang dihadapi.

“Saya tak beranggapan bahawa hubungan antara dua negara ini seperti mana yang difikirkan walaupun terdapat beberapa isu sehingga boleh mengeruhkan hubungan baik dua negara berjiran.

“Menerusi kebijaksanaan kepemimpinan dari kedua-dua negara, saya percaya hubungan ini akan memberikan hasil yang cukup baik,” katanya pada media selepas hadir pada Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang VI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Istana Abu Bakar, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan yang dilaporkan agensi berita Reuters semalam, yang dipetik sebagai berkata hubungan antara Malaysia-Singapura disifatkan berada pada tahap amat membimbangkan.

 “Kita mahu Singapura dan Malaysia menikmati hubungan rapat ini kerana ini adalah masa yang tepat untuk meningkatkan kerjasama (antara kedua-dua negara) terutama di rantau ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply