M Update, 15/1/209 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang mengkaji teknologi pengenalan wajah yang akan digunakan sebagai alat dalam memerangi jenayah di seluruh negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pihaknya menerusi pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sedang mengkaji berhubung teknologi terbaru itu.
“Kita sedang melihat perkara itu, seperti yang kita sudah lancarkan di Pulau Pinang baru-baru ini.
“Pasukan R&D ini akan mencadangkan perkara terbabit. Teknologi ini akan membantu kami terutama dalam memerangi jenayah,”katanya pada sidang media selepas majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), Datuk Narenasagaran Thangaveloo.
Terdahulu, sebanyak 767 kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di sekitar Pulau Pinang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memaksimumkan usaha untuk memerangi jenayah.
Imej suspek yang berjaya direkodkan akan membantu mengenalpasti kedudukan mereka, dan kamera akan mengawasi gerakan terbabit secara manual sebelum pihak polis membuat penangkapan.
Mengulas lanjut, Muhamad Fuzi berkata, beliau sudah menyenaraikan tugas yang perlu dilihat oleh kedua-dua Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu, Datuk Narenasagaran Thangaveloo.
“Di Pulau Pinang, fokusnya adalah untuk mengurangkan jenayah terutamanya perjudian, gangsterisme, peras ugut dan rasuah.
“Mengenai aspek latihan, kami sedang mencari kerjasama dengan Universiti Nottingham mengenai kursus latihan yang selaras dengan matlamat kami untuk menjadi polis bertaraf dunia,” katanya.
Sumber : Berita Harian