Input your search keywords and press Enter.

Tun Perak

Lukisan wajah Tun Perak

Bendahara Melaka merupakan satu jawatan pemeritahan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang hampir sama taraf dengan Perdana Menteri kini. Bendahara merupakan ketua semua pembesar Melaka dan ketua kerajaan yang membuatkan jawatan ini kedua terpenting selepas raja Melaka. Bendahara diberikan kuasa untuk menjaga keselamatan Melaka secara keseluruhannya.Selain itu, bendahara turut menjalankan undang-undang Melaka yang terdiri daripada Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Hal ini membuatkan bendahara turut berperanan sebagai hakim dan mempunyai mahkamah sendiri yang dinamakan Balai Bendahara.

Jika kita lihat filem-filem serta drama di TV jarang sekali watak tokoh besar ini dimainkan. Masyarakat kita lebih sibuk dengan watak Hang Tuah yang masih menjadi misteri kepada ahli-ahli sejarah sehingga ke hari ini. Namun tokoh besar ini tak perlu kita susah-susah memikir dari mana dia berasal dan siapa keturunannya kerana maklumat tentang tokoh ini lebih realiti dari Hang tuah. 

Bendahara Seri Paduka Raja Tun Perak bin Tun Perpatih Sedang ialah Bendahara Melaka yang ke-5 adalah Bendahara yang termasyhur antara semua bendahara Melaka. Pangkat ini yang membawa gelaran “Bendahara Paduka Raja” dalam Kesultanan Melayu Melaka adalah setanding dengan Perdana Menteri moden. Tun Perak, bersama-sama dengan Aria Gajah Mada dari Majapahit, dan Raja Kenayan dari Pasai, telah dianggap sebagai tiga orang pentadbir yang teragung di alam Melayu pada abad ke-15. Tun Perak ialah anak Bendahara Seri Wak Raja dan beliau telah menjadi Penghulu Kelang dari tahun 1445 ketika berlangsungnya permusuhan antara kerajaan Siam dan Melaka. Maka, Tun Perak diperintahkan untuk datang ke Melaka bersama-sama orang Kelang yang lain, lelaki mahupun perempuan. Tindakan Tun Perak membawa sekali golongan perempuan menimbulkan persoalan pada Sultan Muzaffar Syah kerana mereka dikehendaki berperang. Tun Perak memberi alasan bahawa kedatangan perempuan adalah supaya lelaki akan berperang lebih bersungguh-sungguh untuk melindungi anak dan isteri mereka.

Setelah menewaskan percubaan Siam untuk menakluk Melaka pada tahun 1446, beliau dilantik oleh baginda Sultan Muzaffar Syah sebagai Bentara. Setelah Tun Perak menjadi Bentara, beliau tidak digemari oleh Tun Ali, iaitu Bendahara Melaka ketika itu. Tun Ali yang berketurunan Tamil Muslim ketika itu sudahpun lanjut usianya. Perkara tersebut mengkhuatirkan sultan yang hendak melantik Tun Perak sebagai pengganti Tun Ali. Disebabkan risau dengan perbalahan antara pembesar yang memungkinkan kejatuhan pentadbiran negara, baginda mengahwinkan Tun Ali dengan Tun Kudu Tun Perpatih Sedang, iaitu kakak kepada Tun Perak dan isteri baginda sendiri. Baginda yang sanggup menceraikan Tun Kudu menerima keputusan yang dijangkakan bahawa Tun Ali sudahpun berbaik dengan Tun Perak.

Kemudian, baginda melantik Tun Perak sebagai Bendahara yang bergelar Paduka Raja pada tahun 1456 sementara Tun Ali, Bendahara keempat, dilantik sebagai Penghulu Bendahari dengan gelaran Seri Nara Diraja. Ketika Tun Perak menjawat jawatan Bendahara, beliau telah menakluk negeri-negeri di pantai Selat Melaka seperti Rokan, Siak, Kampar dan Inderagiri di pulau Sumatera serta Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perak yang menjadikan semua negeri ini sebagai jajahan takluk Melaka manakala Kedah pula menjadi negeri naungan Melaka. Dengan ini, Melaka telah menjadi sebuah empayar yang besar. Tidak kurang juga bagi aspek lain apabila Melaka membangun sehingga mencapai kekuatan dari segi politik, sosial, dan ekonominya. Kepesatan pembangunan di Melaka telah menarik banyak pedagang asing dari China, India, Timur Tengah, serta negara-negara jiran yang lain. Sejarah telah mengiktiraf Melaka sebagai sebuah kerajaan yang terkenal dengan aktiviti perdagangan dan tentu sekali sultan memberi kepercayaan penuh terhadap Tun Perak dalam mengendalikan segala urusan berkaitan perdagangan pedagang asing.

 Tun Perak memikirkan kesenangan buat Kerajaan Melaka pada masa akan datang iaitu dengan menjalinkan hubungan diplomatik bersama kerajaan-kerajaan besar dunia seperti China, Turki Uthmaniah, Arab Saudi, Rom dan banyak lagi. Bahkan, Tun Perak mencadangkan kepada sultan supaya melakukan pendamaian dengan Kerajaan Siam untuk manfaat bersama. Perkara itu dipersetujui oleh Kerajaan Siam berikutan Melaka diiktiraf sebagai sebuah kerajaan dibawah jagaan Kerajaan China. Maka, bermula hubungan diplomatik secara profesional antara Kerajaan Siam dan Melaka, serta mereka mula bergantung antara satu sama lain dalam membentuk keamanan dan keharmonian dalam sebarang kegiatan yang dilakukan bersama. Melihat dari dasar politik dan hubungan diplomatik yang dipraktikkan Tun Perak, ia berjaya menarik perhatian seluruh dunia untuk menjalinkan hubungan dengan negeri Melaka. Dunia lebih yakin dengan kepesatan Melaka selepas melihat sendiri perkembangan ekonomi di Selat Melaka sekaligus menjadikan negeri di Nusantara itu sebagai pusat perdagangan dunia.

Dua undang-undang telah dilaksanakan sepanjang berlakunya aktiviti perdagangan iaitu Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka supaya berlaku keadilan terhadap pedagang, pembeli dan faedah yang akan diterima oleh Melaka. Cara itu telah menjadikan ianya sebagai salah satu platform penting dalam pembangunan ekonomi Melaka. Ternyata Melaka pernah berada di era kegemilangan suatu masa dahulu apabila mereka satu-satunya negeri di Nusantara yang tidak perlu membayar cukai kepada mana-mana kerajaan besar dunia yang lain tetapi hanya digantikan dengan pertukaran hadiah. Taraf yang dimiliki Kerajaan Melaka setanding dengan Kerajaan China, Rom, Turki Uthmaniah, Arab Saudi dan banyak lagi. Sumbangan Tun Perak tiada tolak tandingnya kerana usaha serta kebijaksanaan akal beliau yang berfikir jauh kehadapan telah banyak membantu Melaka menjadi sebuah empayar yang disegani dunia dek hubungan diplomatik yang dilaksanakan. Sebagai Bendahara

 Melaka yang berpengaruh, Tun Perak mempunyai kuasa untuk melantik raja Melaka. Lazimnya, beliau akan memilih raja yang mempunyai pertalian persaudaraan dengannya. Sebagai contoh, Sultan Alauddin Riayat Syah yang dilantik sebagai Sultan Melaka merupakan anak saudara beliau. Tun Perak juga telah meletakkan Raja Muhammad, putera sulung Sultan Mansor Syah menjadi Raja Pahang tetapi bukan sebagai Sultan Melaka. Keputusan itu dibuat berikutan peristiwa Raja Muhammad membunuh Tun Besar, anak Tun Perak dalam satu permainan sepak raga. Sultan Alaudin Riayat Syah pula mangkat pada 1488 dan lazimnya, putera sulung baginda, Raja Menawar akan dilantik sebagai raja tetapi baginda hanya dilantik sebagai Raja Kampar manakala putera Sultan Alaudin yang lebih muda yang juga merupakan cucu Tun Perak iaitu Raja Mahmud, telah dilantik sebagai Sultan Mahmud. Beliau meninggal dunia pada tahun 1498 ketika pemerintahan Sultan Mahmud Syah setelah bernaung di bawah empat pemerintahan sultan iaitu Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Alauddin Riayat Syah dan Sultan Mahmud Syah. Setelah kematian beliau, baginda sultan melantik Tun Perpatih Putih, adik Tun Perak sebagai Bendahara Melaka yang ke-6.

Setelah lebih kurang sepuluh tahun Tun Perak memegang jawatan sebagai bendahara Melaka dibawah Sultan Mahmud, iaitu setelah berkhidmat kepada empat orang sultan Melaka. Pada tahun 1498, Tun Perak telah meninggal dunia dalam usia yang lanjut. Dibawah pentadbiran Tun Perak, empayar Melaka telah berkembang dengan pesat sehingga beliau dianggap sebagai ‘Pembina Empayar’. Pelbagai perubahan dan pembaharuan telah dilakukan oleh Tun Perak utuk memastikan Melaka muncul sebagai sebuah kuasa yang besar dan disanjungi hingga keseluruh pelusuk dunia. Kewibawaannya sebagai seorang pemimpin amatlah dikagumi hingga ke hari ini kerana kebijaksanaannya dalam mengatur pelbagai strategi telah menyebabkan Melaka dapat meluaskan pengaruhnya hingga ke luar semenanjung Tanah Melayu. 

Selepas kematian Tun Perak, Sultan Mahmud telah melantik Tun perpatih Putih yang merupakan adik kepada Tun Perak untuk menjadi bendahara dan mendapat gelaran sebagai Bendahara Putih. Bendahara baru masih lagi meneruskan segala dasar yang dilakukan oleh Tun Perak, namun beliau tidak dapat mengawal segala tindakan yang dilakukan oleh Sultan Mahud dan akhirnya kerajaan Melayu Melaka telah jatuh ketangan Portugis. Maka disini dapat dilihat berakhirnya zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dan pembesar-pembesarnya.


Leave a Reply