Input your search keywords and press Enter.

Hafizh Syahrin duta Op Selamat KL

M Update 22/1/2019 – POLIS Kuala Lumpur melaksanakan pendekatan baharu bagi mendidik pengguna jalan raya dengan melantik Hafizh Syahrin Abdullah sebagai duta untuk kempen keselamatan motosikal bagi Op Selamat 14 sempena Tahun Baharu Cina 2019.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohamad Mazlan Lazim berkata, pelantikan pelumba MotoGP terbabit dilakukan hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bersama syarikat CCM Duopharma Biotech Berhad (CCM Duopharma).

Katanya, kempen terbabit dilaksanakan untuk mendidik serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan keselamatan jalan raya dalam kalangan penunggang motosikal.

“Kempen keselamatan motosikal di jalan raya ini akan berlangsung sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina dan akan diteruskan juga pada Ramadan serta musim Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut pada pertengahan tahun ini.

“Hafizh akan memainkan peranan penting sebagai penjaga keselamatan jalan raya menerusi video berdurasi satu minit memaparkan langkah keselamatan yang perlu dipatuhi oleh penunggang motosikal.

“Kempen digital ini akan dipaparkan dalam pelbagai platform termasuk media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, YouTube dan sebagainya dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan terutamanya sepanjang cuti perayaan Tahun Baharu Cina ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen Op Selamat 14 di JSPT Kuala Lumpur, hari ini.

Sumber : Harian Metro Online

Leave a Reply