M-Update,23/1/2019, DUBAI: Korea Selatan yang diperkuat Son Heung-min terpaksa bertarung hingga ke masa tambahan untuk menewaskan Bahrain 2-1 dan mara ke suku akhir Piala Asia. Tandukan Kim Jin-su di akhir babak pertama masa tambahan menyelamatkan juara dua kali itu daripada menjadi mangsa kejutan pasukan di ranking ke-113 dunia itu.
Korea Selatan kendalian Paulo Bento, naib juara pada tahun 2015, dan antara pasukan pilihan untuk merebut gelaran tahun ini, bakal berdepan pemenang antara Qatar dan juara 2007 Iraq.Bahrain hampir mengejutkan Korea menerusi percubaan Mohamed Marhoon di awal permainan ketika lawannya itu masih tercari-cari rentak permainan.
Hanya selepas setengah jam, barulah bintang Tottenham, Son mula menunjukkan kemampuannya dengan beberapa hantaran berjaya mencetus panik di benteng Bahrain.Dua minit sebelum rehat, Korea memecah kebuntuan selepas hantaran Lee Yong ditepis penjaga gol tetapi sampai kepada Hwang Hee-chan yang mudah memanfaatkan peluang berkenaan.
Ketika permainan berbaki 13 minit, Bahrain menyamakan kedudukan menerusi Mohamed Al Romaihi.Pemain gantian, Jin-su menanduk hantaran lintang Lee Yong untuk gol kemenangan yang diraikan oleh pasukan dengan memegang jersi nombor 16 milik pemain tengah Newcastle United, Ki Sung-yueng yang cedera. – AFP