Input your search keywords and press Enter.

Prosiding Muhammad Adib – 30 Orang Saksi Tampil

M Update, 23/1/2019 – Seramai 30 orang saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan ketika inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim akan berlangsung 11 Februari sehingga 12 april 2019.

Daripada jumlah itu, tujuh saksi professional yang terdiri daripada enam pegawai perubatan dan seorang pengawai penyiasat kes. Enam saksi pegawai perubatan tersebut melibatkan doktor yang terlibat secara terus merawat si mati di Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Institut Jantung Negara (IJN) dan Institut Forensik Pakar Perubatan Hospital Kuala Lumpur.

Selain itu, polis, bomba dan ahli keluarga Muhammad Adib turut akan dipanggil sebagai saksi.

Inkues tersebut menetapkan 31 Januari depan untuk mendengar hujahan Ahli Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman yang diwakili peguam, Siti Kassim untuk dijadikan pihak berkepentingan dalam prosiding itu. Secara keseluruhan, kes ini melibatkan hak asasi dan kepentingan awam.

Keluarga Muhammad Adib diwakili oleh lima barisan peguam iaitu Muhammad Kamaruzzaman A Wahab, Ahmad Taufiq Baharum, Ahmad Lutfi Awang, Mohd Zubir Embong dan Mohd Tajuddin Abdul Razak manakala Syazlin Mansor mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM)

Koroner itu turut membenarkan peguam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Mansor Saat menjadi peguam pemerhati dalam prosiding itu.

Rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman tercetus pada 26 November lalu menyaksikan Muhammad Adib cedera parah selain perusuh turut membakar 23 kenderaan dan merosakkan cermin bangunan Kompleks One City yang terletak satu kilometer dari kuil tersebut.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN).

Jenazah Muhammad Adib dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah.

Sehingga kini polis menahan lebih 30 individu bagi membantu siasatan.

Sumber : Sinar Harian

Leave a Reply