Input your search keywords and press Enter.

Pemasyhuran Bersejarah Di Pahang

M-Update,29/1/2019, PEKAN: Persiapan majlis istiadat pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Sultan Abdullah di Istana Abu Bakar, di sini, berjalan lancar.

Tunku Azizah berkenan berangkat meninjau raptai majlis berkenaan dan baginda tiba bersama dua anakandanya, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizahtullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah semalam.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Shah dan Tengku Hassanal turut berangkat ke Balairung berkenaan bagi meninjau persediaan terakhir itu.Baginda dilihat turut berpuas hati dengan kelancaran perjalanan majlis raptai berkenaan sebelum ia disambung semula pada sebelah petang.

Dalam majlis istiadat yang dijangka berlangsung jam 10.30 pagi hari ini, Tengku Hassanal juga akan dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang memandangkan Al-Sultan Abdullah akan memulakan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari ini.Turut berangkat, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah; Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mu’adzam Sultan Ahmad Shah serta kerabat diraja.

Suasana persediaan majlis itu dilihat meriah sama seperti majlis pemasyhuran Al-Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Januari lalu.Tunku Azizah dilahirkan pada 5 Ogos 1960 di Istana Bukit Stulang, Johor Bahru, Johor dan baginda melangsungkan perkahwinan dengan Al-Sultan Abdullah pada 6 Mac 1986 di Istana Bukit Serene, Johor Bahru dan mempunyai sembilan putera dan puteri.

Gelaran Tengku Ampuan Pahang dikhaskan untuk permaisuri kepada pemerintah atau sultan semasa yang berdarah raja seperti tercatat dalam Perkara 12 (A) 1 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.Tengku Hassanal Ibrahim, 23, yang diputerakan pada 17 September 1995 di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan diisytiharkan sebagai Tengku Panglima Besar Pahang pada 18 Jun tahun lalu.

Baginda kini sedang mengikuti pengajian di Akademi Ketenteraan Diraja di Sandhurst, United Kingdom.

sumber:Bharian

Leave a Reply