Input your search keywords and press Enter.

Kriteria, Syarat Pengeluaran i-Sinar Kategori Dua Akan Ditambah Baik

M Update, 11/2//2021 – Kerajaan akan menambah baik kriteria dan syarat pengeluaran kemudahan i-Sinar di bawah Kategori Dua.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerajaan sentiasa peka dengan keluhan dan isi hati rakyat terhadap pelbagai inisiatif seperti i-Sinar.

“Suara anda didengari dan penambahbaikan akan dilakukan segera,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Kemudahan i-Sinar pada kali pertama dilaksanakan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya dibuka kepada ahli yang kehilangan pekerjaan.

Ia kemudiannya membuka kategori baharu yang membenarkan ahli belum mencapai umur 55 tahun, mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas termasuklah jumlah gaji, elaun dan elaun kerja lebih masa sejak 1 Mac 2020 supaya dapat mengeluarkan wang daripada Akaun 1 mereka.

KWSP dalam kenyataannya berhubung keputusannya tidak memberi kelulusan automatik i-Sinar bagi mereka yang memohon i-Lestari sebelum ini berkata, situasi ketika ia melancarkan i-Lestari dan i-Sinar adalah sangat berbeza.

Aktiviti ekonomi, katanya, terhenti sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mulai Mac 2020, sebelum sektor ekonomi dibuka semula dan sebahagian besar pekerja kembali bekerja serta mencarum semula dengan KWSP.

Bagaimanapun, KWSP memahami situasi ekonomi berbeza bagi setiap ahli dan bergantung kepada sektor pekerjaan dan industri masing-masing. Justeru, i-Sinar tersedia untuk membantu ahli terbabit.