Input your search keywords and press Enter.

Hidup Jangan Berlagak

M Update, 8/2/2019 – Kisah ini agak panjang, sebuah perkongsian yang sangat berguna dari Mejar Fitri. Hayatilah untuk peringatan kita bersama.

Latihan HARI PERTAMA.
Esoknya.. Pukul 5 pagi, semua askar MR dah bangun dan minum pagi. Pagi ini mereka diberi makan pagi yg sedap-sedap (mereka inikan tetamu kita, kita layan elok-elok), suruh makan kenyang-kenyang, kerana itulah makanan terakhir mereka sebelum masuk latihan survival dalam hutan. Saya dan JL (jurulatih) kita semua, dah siap tunggu mereka di garaj dengan trak-trak askar. Mereka sampai berjalan kaki dalam satu kumpulan besar, berpakaian lengkap beg galas besar setiap seorang, dengan semua bersenjata peralatan tercanggih siap sedia. Pegawai MR pun melapor pada saya.

Saya dah bengang dah dengan askar MR ini sebab kes kelmarin dan semalam, jadi saya malas nak cakap apa. Saya serah pada JL yg lain. Ada seorang JL cakap pada saya, “Tuan bertenang je.. Tuan tengok saja apa kami buat untuk ‘ajar’ mereka”

JL itu (pangkat koperal) pun tanya MR, “Kenapa kamu semua bawa semua peralatan lengkap untuk pergi latihan hutan ini? Kan semalam sudah diberi taklimat oleh tuan Fitri? Tolong tinggalkan semua barang kamu, kamu hanya boleh pakai 1 baju, 1 seluar, 1 pasang kasut, dan 1 pisau setiap seorang.”… Korang nak tau MR tu jawab apa? Dia jawab (dalam bahasa inggeris), “Kami memang macam ini kalau pergi mana2 latihan, sebelum ni kami buat latihan survival di hutan Brazil dan India pun kami pakai macam ini. Lagipun setiap kami ada satu alat khas bentuk macam ‘pen’. Kalau kami tersesat dalam hutan, kami cucuk ‘pen’ itu ditanah, ia akan sambung ke satelit tentera kami, dan helikopter dari kapal perang kami akan terus ambil kami”

Tengoklah tu, berlagak sungguh mereka ini, degil pulak tu. Mentang-mentanglah orang Malaysia ini badan kecil dan rendah, mereka pandang rendah pada kita. Dah datang tempat kita nak belajar ilmu kita, tapi tak nak dengar arahan kita! JL semua pergi mengadu pada Mejar Johnson ak Mileng, boss kami. Mej Johnson pun datang. Mej Johnson cakap elok-elok pada askar MR itu, akhirnya mereka setuju ikut arahan-arahan JL kita. 
Mejar Johnson berjalan balik ke pejabat dia sambil pesan pada kami, “Beri mereka ni rasa sama macam askar kita yg pergi kursus survival. Tapi cuma bagi mereka rasa 50% je”.. Kami JL semua faham apa maksud itu. 😏

Ok, mereka pun tinggalkan semua barang-barang dan peralatan mereka dalam stor di pejabat kami. Apapun mereka tak boleh bawa. Kemudian semua berbaris semula didepan saya dan JL-JL kita. JL kita dah bengang, terus suruh mereka semua buka baju, buka seluar, buka kasut dan longgokkan di tengah jalan tar. Nah, tinggal spender je semua! Korang bayangkan ada 100 lelaki ‘kulit putih dan negro’, semuanya badan sado, hampir bogel tinggal spender depan mata awak, dengan satu longgok besar yg bercampur baju seluar dengan kasut. Hahaha 😆

Lepas itu JL-JL kita ‘gaul’ baju seluar kasut itu, dan beri askar MR itu 1 minit untuk berlari dan capai saja mana-mana baju seluar dan kasut yg dah bercampur, terus kena pakai yg mana sempat capai, terus berlari naik trak-trak dan terus bergerak. Kelam kabut mereka.

Dua jam selepas tu (lebih kurang pukul 11 pagi) kami sampai jauh dalam hutan di kaki Gunung Panti, Kota Tinggi. Kami dah pilih tempat yg pokok-pokok dan keadaan yg belum disentuh manusia, tanahnya rata, ada anak sungai kecil mengalir ditepinya. Kiranya tempat ini paling senanglah nak buat latihan survival hutan. Sebab banyak bahan hutan dan sumber makanan!

Terus JL suruh askar MR semua pecah dalam 10 orang satu kumpulan (kalau askar kita kursus, kita pecah 5 orang satu kumpulan je). Ini patutnya lebih mudah. Kemudian kami suruh mereka bina tempat tidur mereka dan mula cari makanan dan cuba hidupkan api (Semua guna 100% bahan hutan, kan mereka dah diajar caranya pagi semalam).. Lepas suruh itu, kami JL semua tinggalkan mereka urus sendiri, kami ke khemah tempat JL, yg jarak 400meter dari situ. Askar MR masih kuat, tenaga masih banyak, ialah baru hari pertama. Tapi rasanya macam puasa, sebab tak makan minum apapun.

Hari KEDUA
Pukul 10 pagi, saya dan JL semua pergi melawat tempat survival askar MR itu. Nampaknya tempat tidur dan pondok yg mereka bina dah siap (tapi hodoh bentuknya, tak ada seni langsung), api pun dah menyala walau tinggal bara. Kami tanya, makan apa semalam dan pagi ini? Mereka jawab mereka belum makan apapun dan tak minum air setitik pun. Kami tengok mereka dah lembik sikit, tak cergas dah, suara pun lemah dah. Kami JL semua diam je. Lepas kami dah melawat mereka, kami pun balik ke tempat kami. Kami biarkan mereka. Rilekslah, baru 24 jam lebih mereka tak makan minum. 😏

Hari KETIGA
Mej Johnson datang dari kem PULADA, awal pagi ke khemah JL di Gunung Panti.. Kami bersama-sama pergi melawat tempat askar MR itu survival. (Ingat tau, dah lebih 2 hari 2 malam mereka tak makan atau minum apapun).. Nak tahu apa jadi? Sampai je di tempat MR itu, kami tengok ramai dah tersadai tepi pokok, ada yg duduk mencangkung tengok je tengok anak sungai yg mengalir, ada yg tak bergerak dah macam mayat. Nyamuk dan agas yg tengah gigit mereka pun, mereka tak larat nak tepuk dah… tengok je nyamuk dan agas tu hahahaha! 😆

Mej Johnson marah dan tanya mereka (dalam bahasa inggeris), “Kenapa awak semua tak makan apapun dah berhari-hari? Kamu dah diajar jenis2 pokok dan umbut yg boleh dimakan… Kenapa tak minum air anak sungai jernih tu? Kenapa tak buat jerat binatang seperti diajar? Kenapa tak cari dan tangkap katak, ular atau binatang2 apapun? Kawasan hutan awak sedang duduk ni tak pernah disentuh, banyak benda boleh dimakan!”

Pegawai MR itu jawab pada Mejar Johnson, (dengan suara perlahan macam romantik je, berdiri tegak pun tak larat dah) “Tuan, kami risau nak minum air sungai tu, sebab tak ‘purified’ dulu. Pokok-pokok semua kami nampak sama je, hijau saja semua”… Mej Johnson diam je, terus ajak JL semua balik ke tempat khemah kami. Kami semua buat mesyuarat khas dalam hutan.

Mejar Johnson cakap pada kami JL semua, “Mati jugak askar MR tu semua nanti. Kang tak pasal-pasal aku kena menjawab dengan orang atas. Esok pagi, korang pergi memburu, cari monyet seekor, bagi pada mereka”

HARI KEEMPAT
Esok pagi, kami JL naik jip, ikut trek tanah merah dalam hutan, tembak seekor monyet jenis lotong warna kelabu (yg macam dalam gambar bawah tu). Terus bawa kepada askar MR. Saya panggil mereka semua 100 orang berkumpul. Mereka punya muka dan berjalan dah macam zombi hehehe. Terus JL itu campak bangkai lotong itu ke tanah. Ya Allah.. askar-askar MR itu terkam ramai-ramai dan berebut-rebut! Mereka makan gigit mentah-mentah bangkai itu. Tapi mana cukup, seekor monyet kecil yg kurus untuk 100 orang makan. Dah hilang dah megah, dan hilang dah disiplin mereka!

Saya cakap dalam hati “Ambik kau, hari itu kau kata kau hebat, kau kata kau dah biasa dalam hutan di negara lain, kau siap nak ‘ajar’ pulak kami cara hidup dalam hutan. Sebelum ni berlagak dan kurang ajar sangat kan.. Kan dah kena ‘ajar’ 😅… Tanpa peralatan kau yg canggih, kau ni habuk pun tak ada”

Terus kami arahkan askar MR itu keluar dari hutan itu, naik trak, terus balik ke kem. Latihan itu kami batalkan… Sampai saja di kem, semua mereka MR itu senyap sunyi tak ada cakap apa-apa dah, semua tunduk je. Rasanya, baru sekarang mereka ada rasa hormat pada kita iaitu orang Malaysia. Rasakan.

Eh, saya tak buat apa-apapun pada MR itu, jangan tuduh saya, saya tak mengaku hehehe. JL kita dan agas + nyamuk kita yg bagi pengajaran pada mereka, saya cuma ‘tengok’ saja. Nampak tak apa jadi kalau hidup nak tunjuk berlagak?

Sebenarnya, ini bukan kali pertama kejadian seperti ini berlaku. Banyak kali dah dalam latihan-latihan antara tentera kita dengan orang luar Asia ini. Memang ada juga orang putih yg jenis baik dan budi bahasa.. tapi yg jenis berlagak tu lagi ramai. Korang faham la, askar kita ni ramai asal dari anak kampung. Kalau orang datang kampung kita dengan budi bahasa dan merendah diri, kita layan dengan baik. Tapi kalau datang kampung kita lepas tu buat berlagak, itu memang akan dapat ‘ubat’ lah. Betul tak?

PENGAJARAN = Masuk tempat orang, jangan tunjuk belang, jangan berjalan dada kembang, nanti nyawa awak yg melayang… Kepada anak-anak muda, ingatlah pesanan saya. Dalam hidup ini, 3 perkara ini amat penting iaitu

KNOWLEDGE, SKILL ATTITUDE 
(Ilmu, Kemahiran, Sikap) =

1. Kalau awak ada Ilmu tapi tak ada Kemahiran, awak bolehlah hidup juga, tapi akan tersiksa jadi kuli dan hamba. ☹️

2. Kalau awak ada Kemahiran (bakat buat sesuatu) tapi tak ada Ilmu yg betul, awak boleh ‘sekadar hidup’ saja, tapi tak berkembang kemana. ☹️

3. Kalau awak ada Ilmu dan ada Kemahiran, tapi Sikap awak macam haram jadah= Awaklah manusia paling tak berguna dan orang akan menyampah. 👎

4. Kalau ada Ilmu yg baik, Kemahiran pula tinggi, Sikap pun elok.. awak jejaklah dimanapun atas dunia, awak akan diterima dan dimulia. 👍

(Ingat… KNOWLEDGE, SKILL, ATTITUDE)

Itulah yg berlaku pada US Marine Recon dalam cerita saya ini yg berlaku 18 tahun dulu. Mereka askar yg hebat, ada ilmu, ada juga kemahiran, tapi sikap mereka waktu itu buruk…! Maka sikap itu yg lemahkan mereka.

Orang tak peduli pun kalau kamu hebat, canggih atau moden macam mana sekalipun. Kalau kamu sombong dan berlagak, orang tak akan hormat kamu dan senang saja nak kalahkan kamu.

Ada pegawai dan askar kita yg pernah dihantar berkursus dengan pasukan khas ‘marine recon’ di amerika. Dan orang kita boleh lulus dengan cemerlang! Salah seorang yg dah lulus semua kursus di marine recon di amerika, ialah pegawai yg gantikan saya di cawangan pakar hutan itu iaitu kawan baik saya namanya ‘Mejar H_____’ . Tapi orang kita yg hebat seperti Mejar H ini, semuanya merendah diri dan kuat jatidiri.

KESIMPULAN= Jadi saya nak tanya kepada semua pembaca 3 kisah hutan yg saya dah tulis.. Selepas kamu baca, siapa yg lebih tahan lasak? Orang kita atau orang bangsa ‘kulit putih’? Jadi, kenapa ramai antara kita setiap kali tengok orang luar, kita pandang macam mereka itu ‘wow hebatnya!’… Sedangkan bangsa kita di nusantara ini, walaupun kita ini badan rendah dan kecil, tapi kitalah yg lebih hebat dan tahan lasak! Kalau dalam hutan tebal, paya dan gunung pun kita boleh hidup, maka di mana-mana tempat diseluruh dunia pun kita boleh!

Tetapi syarat untuk kamu nak jadi sebuah bangsa dan negara yg kuat ialah= Semua orang Malaysia mesti ‘Back to History’ and ‘Back to Basic’ !! Kamu mesti kenal dan bina kekuatan dalam jiwa. Ingat dan hargai asal usul keturunan kita. Jadilah pewaris ilmu, berbanggalah dengan sejarah keturunan kamu! 😊

Pesanan dan ingatan dari saya,
Mejar Fitri
1 Febuari 2019

Leave a Reply