Warning: filesize(): stat failed for /home/mupdatec/public_html/wp-content/cache/db/options/b15/c50/b15c50aaedc6b3eb8c860da8cdb11b88.php in /home/mupdatec/public_html/wp-content/plugins/w3-total-cache/Cache_File.php on line 157
Leftenan Adnan Wira Bangsa - M-Update

Input your search keywords and press Enter.

Leftenan Adnan Wira Bangsa

M Update, 14/2/2019 – Tanggal 14 Februari 1942, sekujur tubuh kaku kelihatan diikat dan tergantung di sebatang pokok di atas puncak Bukit Chandu, Singapura.

Mayat yang masih mengenakan uniform Askar Melayu ini telah ditikam bertubi-tubi askar Jepun dari Rejimen 56, 18 Divisyen, satu ketumbukan elit tentera Maharaja Jepun yang menggelarkan diri mereka divisyen ‘Chrysenthemum’.

Ia tanda pembalasan dendam dan marah dek kerana anak muda berpangkat Leftenan inilah yang telah mengetuai barisan gagah, ampuh, berani barisan anggota Platun 7, Kompeni C, Batalion Pertama Askar Melayu yang telah mempertahankan kubu terakhir Singapura di Bukit Chandu dalam pertempuran Pasir Panjang yang berlarutan sehingga 48 jam sebelumnya.

Hanya maut sahaja yang membuatkan anak Melayu ini berhenti dari mempertahankan Bukit Chandu, pertahanan terakhir British di Singapura sebelum seluruh Malaya akhirnya ditawan Jepun.

Lehernya Leftenan Adnan telah dikelar, dan isi perutnya terburai dimamah bayonet Tentera Jepun. Mayatnya dilarang diturunkan, buat pengajaran untuk para penentang tentera Maharaja Jepun.

Kendatipun diperlakukan sedemikian, di tangannya seorang sahaja telah terkorban berpuluh askar Jepun. Peluru habis, parang dilibas. Parang tumpul, bayonet dikilas. Bom tangan juga telah habis dilempar ke arah musuh. Leftenan Adnan lebih rela mati berputih tulang dari hidup berputih mata melihat posnya di Bukit Chandu itu ditawan dan kawasan jagaannya dirampas musuh.

Tersentak 13,000 tentera elit Chrysenthemum Jepun melihatkan keazaman dan keberanian seorang anak Melayu mempertahankan tanahairnya sendiri.

48 jam lamanya, Askar Melayu pimpinan Leftenan Adnan dari 1 Melayu, bertempur tanpa henti, mematahkan serangan bersilih ganti dan bertubi-tubi.

Usaha Leftenan Adnan dan anak buahnya membenarkan ramai Tentera British ketika itu untuk berundur ke Pasir Panjang, untuk regroup semula bersama saki baki Askar Melayu yang masih tinggal.

Akhirnya, selain dari seorang yang dipelihara Allah untuk selamat dan menceritakan semula pengalamannya berjuang di sebelah Leftenan Adnan dan rakan-rakan platun, segenap 42 anak Melayu dari Platun 7, Kompeni C, 1 Melayu lenyap tertewas syahid di tangan musuh.

Mereka ini berbekal semangat dan berjuang bersama Rejimen Punjabi dan saki baki British menentang keazaman Jepun menawan Singapura yang ketika itu sebahagian dari Tanah Melayu.

Jeneral Yamashita berkata selepas berjaya membunuh Leftenan Adnan dan menawan benteng terakhir Malaya di Bukit Chandu mengingatkan kepada anggotanya;

“Jangan kita korbankan seorang tentera yang sedang dibakar dengan api kemarahan, jika ada 10 lagi tentera seperti dia (Adnan), Tentera Jepun mungkin memerlukan 10 lagi division untuk menakluk Malaya”

Musuh sekalipun turut mengagumi semangat berjuang anak Melayu ini memimpin para pengawal Bukit Chandu sehingga titisan darahnya yang terakhir.

Hari ini, kita mengenang kecekalan dan pengorbanan beliau kerana pada hari ini, pada petang hening, 14 Februari, 1942, Leftenan Adnan Bin Saidi telah syahid menemui pencipta-Nya.

Leave a Reply