Input your search keywords and press Enter.

Menteri menangis baca warkah dari petani

M-Update,14/2/2019, SERDANG – Sepucuk warkah yang dititipkan seorang petani dari Sungai Besar, Ibas Hamud berjaya menjentik jiwa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub sehingga membuatkan menteri itu menangis.

Warkah ringkas yang diserahkan sendiri kepada Salahuddin pada Majlis Pelancaran Hala Tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani: Prioriti dan Strategi 2019-2019 di Dewan Maeps itu mengandungi luahan hati petani tersebut yang kecewa apabila elaun sara hidup dan subsidi kerajaan kepada golongan itu dipotong.

Salahuddin keka membacakan warkah tersebut menangis teresak-esak manalala hadirin lain yang membanjiri Dewan D Maeps, turut mengalirkan air mata. “Saya berjanji selagi hayat dikandung badan, saya akan melaksanakan tanggungjawab dan amanah ini. “Nafas petani adalah nafas saya, keringat petani adalah keringat saya dan darah petani adalah darah saya,” katanya.

Terdahulu dalam satu video yang disiarkan sebelum ucapan perasmian Salahuddin, Ibas menunggang motosikal berseorangan dari Sungai Besar menuju ke ibu negara melalui laluan pekan dan lebuh raya. Dengan menunggang motosikal Modenas yang agak uzur, Ibas turut berdepan kesukaran apabila motosikal itu kehabisan minyak sebelum dibantu seseorang dan meneruskan perjalanan ke Dewan Meaps tersebut semata-mata ingin menyerahkan warkah berkenaan. Ibas kemudiannya muncul di dalam dewan dan menyerahkan warkah yang ditulisnya kepada Salahuddin sebelum menteri itu membacanya.

Sementara itu, Salahuddin berkata, warkah tersebut adalah simbolik hasrat hati petani, penternak dan nelayan yang menjadi benteng pertahanan keselamatan negara. “Berdekad lamanya mereka bekerja membanting tulang empat kerat malah menyabung nyawa membekalkan sumber makanan asas untuk rakyat Malaysia. Mereka juga terperangkap dalam dalam kitaran sosio-ekonomi yang tidak berubah sekian lama,” katanya. Salahuddin mempersoalkan apakah yang akan berlaku kepada benteng pertahanan makanan negara sekiranya golongan itu tidak lagi mampu menanggung beban itu.

Berikut warkah ringkas ditulis Ibas buat Salahuddin:-

Assalamualaikum WBT Ke hadapan YB yang dihormati, Semoga dirahma ALLAH SWT. Pertama sekali, terima kasih sebab sudi terima surat pak cik ni. YB, Pakcik ni dah berpuluh tahun buat sawah. Itulah sumber pakcik cari makan. Tapi bila YB jadi menteri, YB potong subsidi baja kami. YB tahu tak kami ni susah. YB sebagai Menteri Pertanian, sepatutnya jaga kebajikan kami. Ini tidak, elaun sara hidup nelayan pun YB potong. Sudahlah mereka ni tertindas. Bersabung nyawa tengah laut, tapi terpaksa jual murah. Sedangkan dekat pasar harga ikan bukan main mahal. YB nampak tak semua ni? YB, Itu baru cerita padi dan ikan. Untuk pengetahuan YB, petani lain pun ramai kecewa. Baik yang buat sawit, getah, semua gelisah harga jatuh. Yang buat cili, yang buat kambing semua pening hasil tak laku. Sebab cili Vietnam & daging import terlampau murah. Kalau terus macamni YB, baik YB tukar je slogan “Pertanian suatu Perniagaan” Tukar jadi “Kita import je hasil pertanian”. Biar semua tahu, takda untung buat pertanian. YB, Pakcik luahkan ni, bukan nak marah. Cuma nak YB betul-betul faham apa yang kami rasa kat bawah ni. Akhir kata, Kalau YB betul-betul ikhlas nak bantu kami, Simpanlah elok-elok surat ni. Pakcik akhiri dengan memohon maaf kalau terkasar bahasa. InsyaALLAH, pakcik tetap doakan YB berjaya. Wassalam. Ikhlas dari isi hati, Haji Ibas bin Hamud Parit 10 Sungai Besar, Selangor.

–SinarHarian

Leave a Reply