Input your search keywords and press Enter.

FAKTOR PENENTANGAN MALAYAN UNION

Cadangan untuk rancangan Malayan Union diumumkan oleh Edward Gent, Penolong Setiausaha Rendah Tetap bagi Tanah Jajahan British, buat pertama kali di ParlimenUnited Kingdom pada Januari 1944. Wilayah-wilayah Borneo juga dimasukkan dalam rancangan yang asal tetapi kemasukan itu kemudian dikeluarkan daripada cadangan yang terakhir kerana ketidaksediaan pihak kerajaan Borneo yang pada masa itu dan masih lagi berada dalam keadaan yang kurang stabil. Rancangan ini mendapat tentangan hebat dari kaum Melayu pada masa itu

Sebab-sebab Malayan Union mendapat tentangan daripada orang Melayu. Pertama ialah kedaulatan dan kuasa sultan terancam. Orang Melayu bangkit menentang Malayan Union kerana Malayan Union telah mengancam kedaulatan raja-raja Melayu. Kuasa raja-raja Melayu dikurangkan dan pentadbiran diambil alih oleh Gabenor yang mempunyai kuasa veto. Akibat raja-raja kehilangan kuasa, orang Melayu bimbang tentang masa hadapan untuk menghadapi persaingan daripada kaum bukan Melayu. Gabenor Malayan Union akan menjadi Pengerusi Majlis Islam dan ini menjatuhkan maruah dan kesucian agama Islam kerana orang bukan Islam menjadi Pengerusi Majlis Agama Islam. Orang Melayu bimbang sultan akan kehilangan kuasa politik dan hak keistimewaan. Orang Melayu tidak rela melihat Sultan mereka dilucutkan kuasa politik. Kehilangan kuasa sultan akan menyebabkan status Tanah Melayu menjadi Tanah Jajahan British. Hal ini, telah menimbulkan semangat nasionalisme yang membara dikalangan orang Melayu.

Faktor kedua ialah pemberian taraf kerakyatan. Prinsip kerakyatan berdasarkan jus soli telah menebalkan perasaan kebencian orang Melayu kepada kaum lain. Syarat kerakyatan yang longgar membolehkan orang bukan Melayu mendapat hak yang sama dengan orang Melayu. Orang Melayu meragui kesetiaan orang Cina dan orang India. Jika orang bukan Melayu mendapat hak yang sama dengan orang Melayu ini menyebabkan hak istimewa dan kedudukan politik orang Melayu akan tergugat. Keadaan ini amat berbahaya untuk kedudukan politik, ekonomi dan masa hadapan orang Melayu.

Faktor yang ketiga ialah cara Mac Michael medapatkan tandatangan sultan. Mac Michael dihantar ke Tanah Melayu untuk mendapatkan tandatangan sultan. Beliau mendapatkan persetujuan sultan Melayu dengan paksaan. Beliau mengugut akan melucutkan jawatan sultan kerana telah bersubahat dengan Jepun. Mac Michael tidak memberi masa dan peluang kepada sultan-sultan untuk berunding dengan Majlis Mesyuarat Negeri dan pembesar masing-masing. Orang Melayu marah kerana Mac Michael tidak menerangkan kepada sultan-sultan tentang syarat-syarat gagasan Malayan Union secara terperinci sebelum sultan menandatangani perjanjian tersebut. Pemimpin-pemimpin pula marah dan berasa terhina dengan keangkuhan British yang tidak mempedulikan kepentingan orang Melayu. Mereka menganggap tindakan British sebagai tidak berpelembagaan dan tidak demokratik.

Penentangan telah dilakukan oleh orang Melayu. Penentangan telah dilakukan melalui akhbar oleh pemimpin-pemimpin untuk menyeru bangsa Melayu untuk menubuhkan Barisan Bersatu menentang Malayan Union. Akhbar-akhbar Melayu seperti Warta Negara dan Utusan Melayu telah memuatkan rencana yang mengingatkan orang Melayu tentang bahaya Malayan Union. Desakan akhbar telah menyebabkan pemimpin pertubuhan bersatu padu dan menyuarakan tentangan terhadap Malayan Union.

Penentangan juga dilakukan dengan tunjuk perasaan. Antara tunjuk perasaan yang telah diadakan ialah pada 15 Disember 1945, satu demontrasi telah diadakan oleh Persatuan Melayu Kelantan semasa kedatangan Mac Michael tiba di istana Sultan Kelantan. Pada 19 Januari, Persatuan Melayu Kedah mengadakan demonstrasi di Alor Setar dan disertai kira-kira 50 000 orang. Pada 1 Februari 1946, Persatuan Melayu Kelantan sekali lagi mengadakan tunjuk perasaan di Kota Bharu. Pada 10 Februari 1946, satu lagi tunjuk perasaan disertai oleh 15 000 orang Melayu termasuk wanita diadakan di Johor.

Dato’ Onn b. Ja’afar dan Persatuan Melayu Selangor telah berusaha mengadakan Kongres Melayu Se-Malaya. Pada 29 dan 30 Mac 1946, Kongres Melayu Se-Malaya telah mengadakan mesyuarat tergempar dan beberapa persetujuan telah dicapai. Antaranya ialah, orang Melayu mesti bersatu padu menentang Malayan Union, Raja-raja Melayu, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negeri dan orang Melayu akan memulaukan upacara pengisytiharan Malayan Union dan Kongres sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan parti politik yang kuat untuk menentang Malayan Union. Akhir sekali, Kongres mahu kerajaan British menarik balik Malayan Unuion dan mengekalkan Tanah Melayu seperti sebelum tahun 1941.

Berlaku juga penentangan daripada bekas-bekas pegawai-pegawai British seperti Frank Swettenham,George Maxwell, Ronald Bradell, Cecil Clementi dan R.O. Winstedt. Mereka bersimpati dengan nasib orang Melayu apabila Malayan Union dilaksanakan. Mereka telah menulis dalam akhbar Times menyatakan kekesalan mereka terhadap pengenalan Malayan Union yang tidak sesuai untuk Tanah Melayu.

Leave a Reply