M-Update,21/2/2019, KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah tindakan segelintir individu mentafsir al-Quran mengikut logik akal untuk kepentingan peribadi dan kumpulan tertentu, perlu ditangani segera. Baginda bertitah, jika dibiarkan berlarutan, ia boleh meruntuhkan akidah dan institusi keluarga serta menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.
Titah baginda, kefahaman mendalam dan tafsiran tepat terhadap kandungan al-Quran adalah penting kerana sahsiah atau akhlak yang dibina berpaksikan kitab suci itu akan berupaya melahirkan masyarakat bertakwa serta bahagia di dunia dan akhirat.“Justeru, saya meminta semua masjid di Pahang untuk menjadi pemudah cara menyuburkan budaya al-Quran dalam kalangan umat Islam di negeri ini.
“Mudah-mudahan umat Islam di negeri ini akan mencapai kejayaan dalam menjadikan al-Quran panduan dan pedoman kehidupan,” titah baginda pada majlis penutupan Tilawah Al-Quran Peringkat Pahang Ke-62 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini, semalam. Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, turut berangkat ke majlis itu.
Yang turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad; serta Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman. Sementara itu, qari mewakili Raub, Mohamad Syaheed Sabri, dan qariah dari Jerantut, Suhaili Mohd, dinobatkan sebagai johan tilawah kali ini.
Mohamad Syaheed dan Suhaili masing-masing menerima piala, sijil, hadiah iringan serta wang tunai RM8,000, dan akan mewakili Pahang ke Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada April depan. Naib johan qari disandang Ahmad Burhanuddin Abdul Aziz yang mewakili Chenor, manakala tempat ketiga dimenangi Ahmad Fikri Abdul Karim dari Pekan.
Naib johan qariah pula disandang wakil Temerloh, Ruhana Abdul Halim, sementara tempat ketiga diraih Nur Hafizah Ahmad Tajuddin.Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai RM6,000 serta RM4,000, selain hadiah iringan.
-BeritaHarian