M Update, 6/3/2019 – Balai Bomba dan Penyelamat Daro yang dijadual memulakan operasinya pertengahan tahun ini bakal memberi manfaat kepada 30,000 penduduk setempat dan kawasan sekitarnya.
Malah, kemudahan itu yang dibina membabitkan peruntukan RM6.8 juta mampu memudahkan lagi operasi bomba di daerah itu, terutama apabila berlaku kes kecemasan.
Penduduk Daro sudah lama menantikan kemudahan ini. Ia sememangnya amat diperlukan kerana balai bomba sedia ada terletak di Mukah dan Tanjung Manis, yang jaraknya kira-kira 100 kilometer dari Daro.
Lebih menyukarkan apabila anggota bomba terpaksa menggunakan feri untuk ke lokasi kebakaran. Dengan adanya balai bomba baharu ini, ia tentunya memberi banyak kelegaan kepada penduduk setempat.
Pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Daro sudah pun siap sepenuhnya. Jika tiada halangan, operasinya dijadualkan bermula pertengahan tahun ini.
Sumber : Harian Metro