Input your search keywords and press Enter.

Universiti Indonesia buka peluang kepada YouTubers

M Update, 17/06/2019 – Universiti Pembangunan Nasional Veteran Jakarta (UPNVJ) baru-baru ini, mengejutkan warga internet (warganet) apabila mengumumkan bahawa pengguna YouTube (YouTubers), yang memiliki sekurang-kurangnya 10,000 pelanggan boleh mendaftar masuk ke universiti itu, menerusi skim kemasukan khas.

Laman web Jakarta Post melaporkan akaun Instagram, iaitu @infomasukptn yang diwujudkan bagi berkongsi maklumat kemasukan ke universiti di Indonesia, turut memuat naik mesej mengenai program jalur prestas UPNVJ itu pada Rabu lalu.

Ia mengandungi maklumat untuk YouTubers dan pelajar yang memperoleh pencapaian baik dalam bidang sukan di sekolah menengah, atau majlis pelajar sekolah sekurang-kurangnya untuk tempoh setahun, selain penghafaz Al-Quran.

Sehingga Jumaat lalu, mesej itu berjaya memperoleh lebih 26,000 tanda suka.

Dalam pada itu, rektor UPNVJ, Erna Hernawati mengesahkan bahawa universiti itu sudah memasukkan YouTubers dalam program jalur prestasi mereka tahun ini.

“Kami berpendapat YouTube adalah satu media yang hebat bagi menyalurkan maklumat positif secara berkesan kepada masyarakat.

“Justeru, kami mahu mereka yang berjaya diterima masuk ke universiti ini untuk menyampaikan maklumat positif dan mempengaruhi masyarakat ke arah yang lebih baik,” katanya kepada The Jakarta Post.

Bagaimanapun, Erna berkata, YouTubers yang ingin mengemukakan permohonan menerusi skim khas itu, akan melalui proses tapisan oleh satu jawatankuasa khas, bagi memastikan rangkaian YouTube mereka hanya menerbitkan kandungan yang positif. – AGENSI

Leave a Reply