Input your search keywords and press Enter.

Polis Selangor tahan ‘Alvin Chow’

M-Update,7/3/2019, KUALA LUMPUR: Polis Selangor menahan lelaki yang menggunakan nama ‘Alvin Chow’ dalam akaun laman sosialnya kerana menghina agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah. Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Selangor di pusat beli-belah Plaza Pudu, di sini, jam 5 semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata suspek ditahan berdasarkan maklumat dan risikan yang dijalankan sejak beberapa hari lalu.“Suspek yang dikesan tinggal di Danau Kota, Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur ini dikehendaki polis berikutan laporan yang dibuat kerana melakukan penghinaan ke atas agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda.

“Dalam tangkapan berkenaan, pihak polis turut merampas telefon bimbit milik suspek untuk siasatan lanjut,” .Berdasarkan maklumat, suspek turut dikesan mempunyai empat rekod jenayah lampau serta rekod dikehendaki polis. Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), JSJ Bukit Aman.

Pada Ahad dan Isnin lalu, polis menahan tiga lelaki atas kesalahan sama selepas dikesan membuat komen jelik terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW menerusi akaun Facebook serta Twitter masing-masing.

Suspek pertama, lelaki berusia 29 tahun yang menggunakan nama ‘Bakakuk’ dalam akaun media sosial miliknya, ditahan di Labuan, Sabah, manakala suspek kedua, seorang lelaki berusia 22 tahun yang menggunakan nama ‘Ayea Yea’ dalam akaun Facebook miliknya, ditahan di Bau, Sarawak.

Suspek ketiga lelaki berusia 52 tahun yang menggunakan nama ‘Yazid Kong’ dalam akaun Facebook miliknya, ditahan dalam serbuan ke atas satu lokasi di Petaling Jaya, Isnin lalu.Semua siasatan kes berkenaan dilakukan mengikut Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sehingga semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menerima 929 laporan berhubung kes penghinaan terhadap agama Islam, Nabi Muhammad SAW serta isteri baginda, Saidatina Aisyah, di seluruh negara dan 16 kertas siasatan sudah dibuka.

–BHarian

Leave a Reply