Input your search keywords and press Enter.

TBC: Balik Kampung Ikut Jadual TTA

M Update, 26/01/2022 – Pengguna lebuh raya digalakkan mengikuti Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) kerana jumlah trafik harian dijangka meningkat daripada 1.4 juta kepada 1.6 juta kenderaan bagi tempoh 28 Jan hingga 6 Feb sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

TTA itu disediakan untuk panduan pengguna bagi mengelakkan kesesakan di lebuh raya. Pengguna juga dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 terutamanya ketika berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan Hentian Sebelah. Turut penting adalah pandu dengan selamat dan sentiasa berwaspada ketika keadaan cuaca buruk, justeru rehat dan tidur yang cukup adalah penting sebelum memulakan perjalanan.

Pengguna dari Lembah Klang yang ingin melakukan perjalanan ke utara seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak supaya memasuki lebuh raya sebelum 10 pagi. Ini juga terpakai kepada mereka yang menghala Johor ke arah selatan. Bagi destinasi berhampiran dengan Lembah Klang dan negeri lain, pengguna perlu merancang perjalanan mereka dengan memasuki lebuh raya selepas 1 tengah hari,” katanya.

Pengguna dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, utara Perak, Johor dan negeri-negeri lain yang ingin menuju ke Lembah Klang pula digalakkan untuk keluar sebelum pukul 9 pagi. Bagi memastikan perjalanan lancar semasa memasuki dan keluar dari lebuh raya bertol, pastikan kad Touch ‘n Go dan e-dompet Touch ‘n Go RFID mempunyai baki mencukupi setiap masa.

Kemas kini mengenai keadaan trafik terkini boleh didapati daripada fungsi CCTV perancang perjalanan Aplikasi PLUS, Twitter PLUSTrafik dan P.U.T.R.I (PLUS Unique Texting Realtime Interface) serta papan tanda elektronik di lebuh raya. Pengguna lebuh raya juga digalakkan menggunakan aplikasi Waze dan Google Maps untuk navigasi perjalanan mereka. – Bernama