Input your search keywords and press Enter.

FELCRA akan minta Malaysia haramkan produk EU

M-Update,15/3/2019, KUALA LUMPUR: FELCRA Bhd (FELCRA) akan meminta kerajaan menyekat kemasukan produk dan perkhidmatan Kesatuan Eropah (EU) sebagai tindakan balas terhadap keputusan kesatuan itu yang mengklasifikasikan minyak sawit bukan bahan api hijau. FELCRA berkata, langkah sekatan itu bertujuan menjaga dan melindungi pendapatan serta kehidupan pekebun kecil yang bergantung sumber pendapatan daripada hasil jualan minyak sawit.

Malah, FELCRA menyifatkan tindakan EU itu satu bentuk diskriminasi kerana minyak sayuran lain seperti soya tidak dimasukkan ke dalam sekatan yang ditetapkan kesatuan itu.“Kami menuntut EU untuk menarik balik keputusan pengharaman minyak sawit sebagai bahan api hijau kerana ia akan menjejaskan kehidupan pekebun kecil yang bergantung pendapatan kepada hasil minyak sawit, sekali gus dibimbangi akan menyebabkan mereka terjerumus ke dalam kancah kemiskinan.

“Jika EU gagal menarik balik sekatan itu, kami akan mendesak kerajaan untuk melakukan sekatan produk dan perkhidmatan EU ke dalam negara bagi menjamin kehidupan pekebun kecil,” kata FELCRA dalam kenyataan media, malam ini.Rabu lalu, EU mengklasifikasikan minyak sawit sebagai bukan bahan api hijau dan mendakwa industri tanaman sawit sebagai punca kepada aktiviti penebangan hutan secara tidak terkawal.

Awal bulan ini, empat agensi pengeluar sawit negara FELCRA, FELDA, RISDA dan Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia mendesak kerajaan menggantung sementara segala rundingan atau aktiviti perniagaan membabitkan minyak sawit dengan EU.Ia bertujuan menuntut EU menamatkan sekatan produk minyak sawit negara berkuat kuasa pada tahun 2030 memandangkan selama ini Malaysia terlalu berdiplomasi berunding dengan EU yang mahu memboikot penggunaan produk minyak sawit.

Sementara itu, FELCRA terkejut dengan keputusan EU itu dikhuatiri akan menjejaskan pendapatan dan periuk nasi lebih 112,454 pekebun kecil yang tanah mereka diuruskan agensi itu.“Majoriti pekebun kecil bergantung kepada hasil jualan minyak sawit sebagai sumber pendapatan. Akibat kejatuhan harga komoditi itu, pendapatan pekebun kecil merosot daripada RM1,200 sebulan pada tahun 2017 kepada RM450 sebulan sejak tahun 2018.

“Kemerosotan jumlah pendapatan ini mengakibatkan pekebun kecil tidak mempunyai pendapatan mencukupi untuk membeli makanan, membayar bil utiliti dan membiayai perbelanjaan anak-anak ke sekolah,” kata FELCRA lagi.

–BHarian

Leave a Reply