M-Update,15/3/2019, PASIR GUDANG – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melakukan kejutan apabila membuat lawatan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MMPG) di sini pukul 10.15 malam tadi. Kehadiran putera sulung Sultan Johor itu mengejutkan orang ramai dan petugas-petugas di dewan tersebut yang baru beroperasi kira-kira dua jam sebelum itu.
Kebetulan pada masa itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung sedang meninjau pesakit dan kelancaran operasi di situ selepas pusat rawatan awal berpindah dari Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih ke situ malam tadi.Tunku Ismail meluangkan masa selama kira-kira setengah jam melihat operasi di stadium tersebut selain diberikan taklimat serta perkembangan semasa oleh pihak bomba, pasukan perubatan dan keselamatan lain.
Stadium tersebut dijadikan tempat rawatan awal untuk mangsa pencemaran toksik di Sungai Kim Kim yang sehingga pukul 12 tengah hari semalam sudah berjumlah 2,775 orang.Bencana alam sekitar itu turut memaksa 111 buah sekolah rendah dan menengah selain 92 tadika dan taska ditutup di daerah ini untuk keselamatan para pelajar sekali gus sebagai langkah mencegah peningkatan pesakit. – UTUSAN