Input your search keywords and press Enter.

Serangan Masjid NZ – Mangsa Pertama Kebumi Hari Ini

M Update, 20/3/2019 – Ratusan orang ramai berkumpul di tanah perkuburan hari ini untuk menghadiri pengebumian pertama mangsa pembunuhan beramai-ramai di dua masjid Jumaat lalu.

Pengganas Australia menembak mati 50 jemaah di dua masjid di Christchurch Jumaat lalu dalam kejadian yang disiarkan secara langsung oleh pelampau kulit putih berkenaan.

Pagi ini, ratusan penduduk kebanyakannya beragama Islam berkumpul di tanah perkuburan tidak jauh dari Masjid Linwood, lokasi sasaran kedua serangan pengganas itu.

Mereka berpelukan sesama sendiri, berada di bawah khemah besar bersebelahan beberapa kubur yang baru digali.

Antara yang hadir ialah pelarian Afghanistan, Abdul Aziz, yang berhadapan dengan pengganas itu di Masjid Linwood.

Pegawai majlis tidak menyiarkan nama mereka yang dikebumikan hari ini tetapi sebahagian yang hadir memberitahu mereka dimaklumkan dua jenazah akan dikebumikan.

Selepas solat, jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan itu dan dikebumikan.

Anggota keluarga mangsa meluahkan kesedihan kerana kegagalan pihak berkuasa menyerahkan mayat untuk dikebumikan dengan segera, seperti dituntut Islam.

Cuma enam daripada 50 mayat dikembalikan kepada keluarga mereka setakat ini.

Pesuruhjaya Polis, Mike Bush, berkata proses lambat kerana keperluan mengenal pasti mangsa dan mengelakkan pendakwaan terhalang. — AFP

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply