M Update, 21/3/2019 – Hasrat Malaysia menjulang Piala Airmarine pada penganjuran sulung gagal direalisasikan selepas tewas 1-0 kepada negara jiran, Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Bagaimanapun, Harimau Malaya seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana mempersiakan deretan peluang yang dicipta terutamanya di babak kedua. Ia sekali gus menyaksikan impian untuk skuad kendalian Tan Cheng Hoe menentang pasukan pilihan, Oman di final berkecai dan hanya akan bertemu Afghanistan di penentuan tempat ketiga dan keempat, Sabtu ini.
Terdahulu, babak pertama bermula perlahan yang menyaksikan kedua-dua pasukan lebih berhati-hati namun minit ke-11, kesilapan pertahanan negara, Shahr Saad hampir mengundang padah sebaliknya penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat tangkas menafikan rembatan Muhammad Yasir Hanapi. Seterusnya pada minit ke-16, giliran Shahrul menguji pertahanan lawan selepas menyambut baik sepakan sudut sebaliknya tandukan dilakukannya sedikit serong ke sebelah kanan gawang Singapura.
Empat minit selepas aksi bersambung, pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh memiliki peluang terbaik tetapi percubaan dilakukannya berjaya ditepis penjaga gol Singapura, Mohamad Izwan Mahbud. Percubaan itu jelas membangkitkan kerancakan perlawanan yang turut menyaksikan skuad negara tampil garang dan minit ke-64, jentera serangan negara mencetuskan situasi kelam kabut dalam kotak penalti lawan tetapi ia gagal disudahkan dengan jaringan.
Minit ke-82, Singapura yang lebih banyak bertahan di babak kedua akhirnya membuka jaringan menerusi bekas import PKNS FC, Faris Ramli yang bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum tenang menolak bola ke gawang.
Sumber : BH Online