Input your search keywords and press Enter.

PDRM Larang Berkumpul Rai Tahun Baharu 2021 Di Langkawi, Mulai Jam 5 Petang Ini

M Update, 31/12/2020 – Polis tidak membenarkan orang ramai berkumpul di kawasan tumpuan awam termasuk pantai bagi meraikan sambutan tahun baharu 2021 di pulau ini, malam ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata semua aktiviti di kawasan pantai, perlu dihentikan mulai jam 5 petang ini.

“Larangan itu membabitkan semua bentuk aktiviti dan perniagaan, selari Prosedur Operasi Standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Selain itu, langkah ini bagi memastikan orang ramai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berikutan pendemik COVID-19,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Shariman berkata, polis akan membuat pemantauan dan tindakan tegas akan diambil jika ada individu yang degil serta mengingkari arahan.

Terdahulu, notis berkaitan larangan itu dimuat naik dalam Facebook rasmi Polis Langkawi sejak semalam, tular dalam media sosial mulai awal pagi ini.