M Update, 23/3/2019 – Suspek kes rogol remaja perempuan berusia 17 tahun yang menjadi mangsa seksual sejak lima tahun lalu dibenarkan reman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Tapah, hari ini.
Lelaki berusia 26 tahun itu, yang juga abang sulung mangsa dibenar reman sehingga 28 Mac ini bagi membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 376 (3) dan 377C Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kelindan lori berkenaan ditahan 8.30 malam tadi susulan laporan polis dibuat mangsa.
Suspek ditahan malam tadi di kampung tempatnya menyewa rumah dan dibawa ke mahkamah pagi ini untuk mendapatkan perintah reman. Polis mendapat reman selama tujuh hari terhadap suspek bagi membantu siasatan.
Terdahulu Wan Azharuddin memaklumkan, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun nekad lari dari rumahnya di Tapah dan membuat laporan polis 12.45 tengah hari semalam dan mendakwa menjadi mangsa seksual abang kandungnya.
Menurutnya, mangsa mendakwa bukan hanya dirogol dan diliwat abang sulungnya, tetapi turut dicabul sejak dia berusia 11 tahun sebelum mangsa melarikan diri dari rumah 10.40 pagi semalam dan ke rumah ibu saudara di Slim River serta membuat laporan polis.
Siasatan awal mendapati dia yatim piatu dan tinggal bersama tiga abang di rumah sewa di Tapah. Dia mendakwa sering dikongkong oleh abang sulung dan turut diberhentikan sekolah tanpa sebab.
Malah dakwanya, kejadian bermula pada 2014, yang mana pada awalnya dia dicabul dan tidak dirogol, namun pada 2017, ketika berusia 14 tahun, mangsa mendakwa dirogol dan diliwat dengan kejadian terbaharu pada Jumaat minggu lalu.
Sumber : Harian Metro